Takkan mungkin kita bertahan
Hidup dalam bersendirian
Panas terik, hujan badai,
Kita lalui bersama
Saat hilang arah tujuan
Kau tahu ke mana berjalan
Meski terang, meski gelap
Kita lalui bersama - Seindah Biasa, Siti Nurhaliza
Sejak dua menjak, ada banyak yang terpendam dalam hati aku. Banyak yang emosional. Aku kira, sejak aku pulang ke M'sia, hati aku jadi makin kurang tenteram. Kerana apa? Aku pun tak tahu. Perubahan ketara yang aku nampak jadi pada diri aku, aku sudah jadi semakin panas baran. Terutama sekali semasa memandu kereta di jalanraya.
Aku tak mampu nak luahkan kemarahan aku pada sesiapa. Sebaliknya aku simpan dalam hati. Bukannya tak mahu luahkan, cuma takut ia akan bawa banyak mudarat daripada manfaat. Baik pada aku, mahu pun pada sesiapa yang aku luahkan itu. Dan akhirnya, perlahan-lahan ianya memakan aku sendiri.
Buat masa ini, aku cuba menyibukkan diri aku. Kerja di sana-sini. Balik dari sekolah untuk mengajar sesi pagi, aku akan mengajar di pusat tusyen pulak. Jadual hari Isnin sangat penuh. Bermula dari 7.20 pagi di sekolah menengah, aku sambung pula dari jam 3 petang sampai 6 petang di pusat tusyen A. Pada jam 8 malam, aku mengajar di pusat tusyen B sehingga 10.15 malam. Hari-hari lain agak berkurangan kesibukan aku. Cuma Isnin dan Rabu saja, hidup aku jadi padat.
Sekarang ni pun, aku berkira-kira nak cari lagi satu kerja tutor di pusat tusyen yang lain untuk penuhkan jadual hidup aku bagi hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Setakat ini, ada dua orang student Form 5 yang mahu belajar tusyen subjek Kimia dengan aku. Itu pun aku adakan tusyen secara percuma untuk diorang. Salah seorang daripadanya tak mampu nak bayar tusyen. Yang lagi seorang pulak, anak kedua ibu angkat aku. Jadi aku kira, didikan yang bakal aku berikan untuk balas budi dan jasa mama pada aku, dan yang satu lagi sebagai amal jariah aku. Bekal untuk alam mati nanti.
Aku tak pernah rasa sebegini rimas sejak balik ke M'sia. Aku seboleh-bolehnya mahu mencari kedamaian yang aku jumpa waktu aku di Amerika dulu. Yup, aku rindukan State College. Pekan kecik di tengah-tengah Pennsylvania, tempat aku bermukim selama hampir 5 tahun. Betul kata senior aku, Pak Lah, bila dah balik M'sia baru kita rindukan Happy Valley. Di sana, aku bebas sebebas-bebasnya. Pemikiran aku terlepas dari kongkongan. Pembacaan aku tidak terhad kepada propaganda harian. Bicara aku meluas, melewati isu hiburan harian. Status tidak pernah menjadi isu dalam komunikasi sosial.
Di sini, segalanya jadi terkebelakang. Bukanlah semuanya. Tapi ada sekelumit rasa-rasa kurang senang dengan sesetengah sikap manusia. Mungkin aku yang masih dalam fasa 'culture shock'. Culture shock di bumi sendiri. Agaknya inilah yang dikatakan oleh Akhie Azmin, bekas naqib usrah aku dulu waktu aku mengaji di PPP, ITM 6 tahun dulu.
Aku rindukan angin musim sejuk State College. Ada terasa damai walau pun setiap saraf aku menggeletar menahan sejuk. Ada kesejukan hati pada setiap butir salji yang gugur di atas mukaku. Ada terasa kemesraan pada angin dingin musim sejuk yang mengeringkan setiap inci kulit aku. Hmmm...bila aku akan rasai apa yang aku pernah rasa di sana? Dapatkah bumi tempat aku lahir sendiri boleh berikan apa yang aku telah hilang tidak lama dulu?
By the way, ada sesiapa nak temankan aku tengok wayang, Shall We Dance di KLCC/Midvalley?