Atuk Berjumpa Tuannya
Aku terima panggilan daripada papa pada petang hari Isnin. Ketika itu aku baru saja tamat temujanji dengan klien di KLCC. Jarang sekali sebenarnya papa telefon aku melainkan kalau ada hal yang penting. Papa kata, lekas segera ke rumah Pak Long. Atuk meninggal jam 6 petang tadi. Aku tak berikan apa-apa reaksi. Cuma berkata, iya.
Hujan sangat lebat ketika itu di Kuala Lumpur. Aku menunggu hujan teduh sedikit di KLCC dengan menyemak semula jadual aktiviti aku di dalam buku nota harian. Mengatur semula hidup untuk hari esoknya. Aku hantar berita atuk meninggal kepada Mak Long Kesuma dan Mak Ngah Suria. Sayang, Mak Ngah Suria tak dapat datang sebab masih dalam pantang selepas bersalin. Hmmm...satu pergi tinggalkan dunia dan satu juga baru tiba ke dunia.
Aku tiba di rumah Pak Long lebih kurang hampir waktu Isyak. Ketika itu saudara mara sudah ramai pun tiba. Ada juga saudara mara yang aku tak kenal. Selepas aku selesai solat Maghrib dan Isyak, satu tahlil ringkas dimulakan dengan Tok Ucu. Kedengaran suara sedu-sedan tapi aku tak dapat kesan daripada siapa.
Para tetamu semakin ramai datang. Ada yang datang sejauh dari Tanjung Karang, Kuala Selangor, kampung atuk tinggal sebelum atuk sakit stroke kira-kira 7 8 tahun dulu. Ramai yang bertanya, siapa tu, siapa ini. Ketika inilah masanya kita mengenal kembali saudara-mara yang sudah lama tak bertemu dan bertegur sapa.
Aku disuruh papa mengisi borang laporan kematian untuk arwah atuk. Pertama kali aku melihat borang itu. Tertanya juga, perlu ke aku isikan butiran di situ dengan pen dakwat merah? Sebabnya semasa aku kecil-kecil dulu, orang kampung banyak yang berkata begitu. Isi borang mati mesti dengan dakwat merah. Tapi rupa-rupanya mengarut saja. Pen dakwat warna apa-apa pun boleh, asalkan dapat menulis.
Aku beredar dari rumah Pak Long ketika hampir jam 1 pagi. Dan aku kembali semula ke rumah Pak Long keesokkan harinya pada jam 9.30 pagi.
Atuk dimandikan oleh saudara-mara perempuan. Habis saja dimandikan dan dibalut dengan kain batik lepas, aku dan papa mengangkat arwah dan bawanya ke ruang tamu. Proses mengapankan jenazah dilakukan oleh saudara mara perempuan. Selesai atuk dikapankan, kami saudara mara mengambil kesempatan untuk menatap wajah atuk buat kali terakhirnya.
Muka atuk sama saja ketika waktu dia sakit dulu kecuali kali ini dia lebih pucat dan cerah daripada biasa. Aku tertanya-tanya, apakah perkara yang terakhir difikirkannya ketika atuk di ambang sakaratul maut.
Atuk dibawa ke surat At Taqwa untuk disolatkan. Aku nampak air mata bergenang di kelopak mata Pak Long. Selesai saja disolatkan, atuk dibawa ke tanah perkuburan di AU3, Lembah Keramat. Liang lahad sudah tersedia. Khemah pun turun disediakan.
Aku, papa dan pak anjang turun ke liang lahad untuk membawa atuk turun ke tanah. Kubur itu sempit. Itu hakikatnya. Liang lahad atuk sempit, cukup-cukup hanya untuk atuk seorang. Kami buka tali pengikat kain kafan atuk. Kami serengkan atuk supaya arwah mengiring ke kanan. Kain kafan di bahagian muka atuk dibukakan. Hidung arwah dirapatkan ke tanah hingga mencium tanah. Kami ambil pula tanah-tanah untuk dipasakkan ke badan atuk supaya atuk tak kembali dalam posisi terlentang. Selepas itu kayu plywood diturunkan untuk ditutup dan dikambus liang lahad itu. Saudara mara yang lain banyak membantu untuk mengambuskan kubur atuk. Selesai menanam jenazah arwah, talkin pula dibacakan oleh imam Surau At Taqwa.
Terngiang-ngiang di telinga aku, “....Janji Allah itu benar, Malaikat Munkar dan Nakir itu benar, azab kubur itu benar...”. Ketika talkin dibacakan, aku duduk di sebelah papa. Jelas di telinga aku, terdengar papa tersedu tapi dalam keadaan terkawal. Nampak sedikit air mata yang comot di sekeliling matanya. Tapi papa nampak tenang. Aku tak pernah nampak papa menangis kecuali ketika menghantar Pak Long menunaikan haji dulu lama dulu. Bahkan semasa aku dan along belajar ke luar negara pun, papa tak menitik sebutir air mata pun. Tapi hari itu, aku nampak papa bergenang air matanya di kubur atuk.
Selesai talkin dibacakan dan disusuli dengan doa, Pak Long dan papa taburkan daun pandan yang dikerat-kerat ke atas kubur atuk. Kami semua bergerak meninggalkan tanah perkuburan itu dan tinggalkan atuk di situ. Aku rasa berpuas hati kerana aku dapat berkhidmat untuk atuk hingga arwah dikebumikan. Hari ini, atuk telah pun berpindah ke rumah baru. Kekal arwah di situ hingga Yaumul Haqq sampai. Giliran kami pula, masih lagi jadi satu tanda tanya.