Baru-baru ni aku ditanya oleh seorang veteran bekas pimpinan MISG di jalanan. "Eh, macam mana ni? Ramai bekas-bekas MISNA dah larut?". Kemudian tadi, baru saja disoal oleh orang yang sangat rapat dengan Dato Seri Anwar Ibrahim, "Orang-orang muda perlu bertanya pada diri sendiri apa yang mereka dapat sumbangkan untuk gerakan ini". Aku pun bertanya sendiri, apakah yang kita mampu lakukan untuk membuat sesuatu perubahan?
Kita merujuk kepada golongan muda. Golongan muda ini seharusnya ditujukan kepada kaum belia yang membawa maksud, golongan pemuda dan pemudi yang berumur di antara 18 tahun hingga 40 tahun.
Pertama sekali, persoalan yang perlu ditakrifkan dengan sebenar-benarnya ialah definisi perjuangan. Apakah yang dimaksudkan dengan perjuangan? Perjuangan dalam sudut apakah yang wajib dilakukan terutamanya oleh kami, orang-orang muda?
Kedua yang perlu dinyatakan sejelas-jelasnya, aktiviti apakah yang dapat dikira sebagai bahan sumbangan kepada pergerakan perjuangan ini? Apakah aktiviti lepak-melepak, sembang bersembang dengan kawan-kawan tentang cerita-cerita terkini politik dilihat sebagai pemangkin kepada kejituan pergerakan politik bersih?
Ketika tahun 1999 dahulu, sebelum aku pernah bertanya kepada seorang pegawai HEP di PPP, UiTM dulu tentang apa yang harus aku lakukan untuk membantu gerakan Reformasi. Katanya, jadilah seorang agen informasi yang benar. Be the agent of information. Don't be the agent of reformation. Dia mengatakan kapasiti aku sebagai pelajar ketika itu tidak membenarkan aku menjadi agen kepada reformasi itu sendiri.
Justeru, aku belajar untuk jadi seorang agen informasi. Membekalkan berita-berita politik. Menjadi tokan kepada artikel-artikel terkini tentang pergerakan politik alternatif di M'sia. Aku jugak menjadi kaki lawan kepada establishment. Selama 5 tahun, aku kekal dengan sikap 'berani kerana benar, takut kerana salah'.
Hari ini, aku bertanya kembali kepada diri aku sendiri. Di manakah letaknya tapak aku di dalam pergerakan ini? Apakah aku dapat memberikan impak sewajarnya kepada pergerakan ini?
Aku sebenarnya tidak mengharapkan balasan apa-apa bila aku berkhidmat di dalam gerakan ini. Niat aku cuma satu, aku mahu negara ini punyai pentadbiran yang bersih, kebajikan rakyat diberi keutamaan, ekonomi negara ditadbir secara telus dan jujur. Pemimpin dan rakyat bercampur gaul umpama tiada batasan prejudis sosial. Melayu, Cina, India dan kaum lain menjadi bangsa Malaysia. Itu yang aku mahu.
Aku sedar, perubahan arus politik perdana sedang berlaku. Aku dapat rasakan perubahan itu berlaku. Cumanya, aku tidak mampu lagi untuk memerahkan otak, apa lagi yang aku mampu lakukan untuk menjadikan impian aku menjadi satu kenyataan.