Panggil Saya, Farid
Sudah beberapa hari aku mulakan kerja sebagai seorang guru ganti di sekolah menengah. Pengalaman mengajar dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar di sini sedikit sebanyak membuka mata – melihat kelemahan diri sendiri. Bagi aku, tugas menjadi seorang cikgu sebenarnya membuatkan aku belajar banyak daripada pelajar-pelajar aku.
Di sekolah ini, aku dikehendaki mengajar para pelajar Tingkatan 6 atas dalam subjek Statistik. Peluang menggunakan Excel semasa di universiti dulu membuatkan aku sangat-sangat terlupa bagaimana untuk membina carta secara manual. Aku terpaksa membuka buku semula untuk mengetahui kaedah sebenar membuat carta pai. Tak kurang juga aku terpaksa membaca banyak teks dalam bahasa melayu. Memang bab membaca teks dalam BM agak janggal lah, sebabnya aku dah terbiasa membaca teks dalam Bahasa Inggeris.
Aku dapat banyak soalan daripada pelajar-pelajar di kelas aku mengajar. Antaranya, “Kenapa cikgu jadi cikgu?”, “Nama cikgu ni siapa?, “Cikgu tinggal di mana?” etc. Sudah jadi kebiasaan aku untuk tidak memperkenalkan diri aku kepada para pelajar, melainkan kepada kelas-kelas yang aku ajari. Selebihnya, aku mahu mereka sendiri bertanyakan kepada aku. Aku mahu, para pelajar berani mendekati cikgu. Dalam pada masa yang sama, aku cuba untuk tidak berlagak formal. Untuk mendekati jiwa muda, bagi aku, memerlukan kita berfikir seperti mereka juga. Cumanya, kita mesti jadi lebih matang dalam membicarakan soal-soal tertentu.
Bahasa yang aku selalu gunakan pun bukanlah bahasa orang tua. Bahasa orang muda yang budak-budak mudah faham. Kadang-kadang, aku tersyok sendiri dengan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Aku dapati, aku lebih senang bercakap dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa sendiri. Mungkin disebabkan aku duduk 5 tahun di Amerika dan sepanjang tempoh 5 tahun itu, teman-teman sebilikku ialah orang-orang Amerika.
Aku selalu cuba dapatkan perhatian mereka dengan bertanyakan tentang perkara-perkara yang orang muda selalu buat. Sebagai contohnya, bertanyakan tengan PC games seperti Warcraft, Command & Conquer, Half-Life 2 dll. Sekurang-kurangnya budak-budak yang nakal dalam kelas tu akan celik mata dan mula membuka mulut mereka untuk bertanyakan dengan hal yang lebih lanjut.
Kadang-kadang aku terasa aku ini orang asing di sekolah. Mungkin disebabkan aku ini hanya guru sementara, sebab itu aku rasa agak tersisih. Tapi tak kisahlah sebabnya aku rasa lebih seronok buat kerja seorang diri. Kalau aku tak tahu cara buat kerja, aku akan bertanya kepada ketua guru panitia. Kalau tak tahu apa-apa, aku bertanya pada ustaz-ustaz yang semeja dengan aku. Pendek kata, kita jaga tepi kain sendiri-sendiri. Aku kurang gemar sangat nak berbual bicara soal harga emas, kain ela atau pun gosip sesama sendiri dalam bilik guru.
Kalau nak dikirakan, banyak lagi yang aku nak ceritakan di sini. Nak berkongsi perasaan menjadi guru sementara, berinteraksi dengan para pelajar dan juga guru-guru di sini. Tak kurang juga mahu menceritakan kejadian-kejadian lucu semasa aku mengajar di dalam kelas.Tapi mungkin lain kali, okay?
No comments:
Post a Comment