Friday, February 11, 2005

KL dan Teksi

Pada aku, kaedah pengangkutan yang paling laju di kota ni ialah teksi. Teksi memang boleh jadi cara pengangkutan awam yang paling laju, dan pada masa yang sama juga boleh jadi yang paling lambat. Itu kena tengok bila pulak waktu-waktunya yang ianya akan jadi lambat.

Aku selalunya bila naik teksi, mesti aku ajak brader yang bawak teksi tu sembang sekali dengan aku. Seperti biasalah, kita dengar saja apa yang nak dikeluhkan oleh pemandu teksi. Lazimnya masalah utama yang selalu aku dengar daripada para pemandu teksi ialah tentang bayaran permit teksi. Menurut seorang pemandu teksi ni, katanya mengikut undang-undang, permit teksi perlu diberikan kepada individu. Bukan seperti sekarang ni, kebanyakan permit teksi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan diberikan kepada syarikat-syarikat teksi. Katanya itu sebenarnya telah melanggar undang-undang dan ketidakadilan berlaku khususnya pada pemandu-pemandu teksi.

Apabila permit teksi ini diberikan kepada syarikat-syarikat teksi, maka pemandu-pemandu teksi ini wajib membayar sejumlah bayaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menggunakan permit teksi mereka. Lazimnya bayaran ini merangkumi daripada jumlah bayaran permit, cukai jalan dan bayaran kereta teksi yang digunakan oleh pemandu teksi tersebut. Jumlah bayaran biasanya di sekitar antara RM 40 hingga RM 45 sehari. Dalam tempoh kira-kira 3 atau 4 tahun, kereta teksi yang dimiliki oleh syarikat tersebut akan menjadi milik pemandu teksi berkenaan.

Jadi, katalah aku ni bekerja sebagai pemandu teksi di KL. Bila aku mulakan perjalanan aku pada pagi hari, target minima yang mesti aku cari ialah sebanyak RM 40 sehari untuk melunaskan bayaran kepada syarikat teksi. Secara kebiasannya, seorang pemandu teksi sekiranya dia membawa teksinya paling kurang 12 jam satu hari, untung bersih yang dia mampu miliki untuk hari itu ialah sebanyak RM 70 selepas menolak baki perbelanjaan. Untung kasar pulak biasanya antara Rm 130 hingga RM 150. Tapi pada waktu-waktu perayaan, kadang kala pendapatan mereka meningkat sehingga RM 200 sehari.

Kata seorang abang teksi padaku, sepanjang kerjayanya sebagai pemandu teksi di KL selama hampir 3 tahun ini, dia tak pernah lagi gagal menyediakan makanan untuk keluarga, bekalan susu untuk anak-anak dan masih mampu menyekolahkan 3 orang anak-anaknya. Senang cakap, masih boleh hidup lagi di KL ini dengan membawa teksi. Tapi, untuk mempunyai sumber kewangan yang tetap, membawa teksi bukanlah satu pilihan yang bijak katanya. Seorang pemandu teksi biasanya tidak mempunyai wang simpanan di bank kerana sumber pendapatan hariannya habis digunakan untuk satu hari; membayar permit teksi kepada syarikat dan menguruskan perbelanjaan harian serta 'maintainance' teksi.

Merujuk kembali kepada kisah permit teksi ini, menurut seorang lagi pemandu teksi yang aku sempat bersembang dengannya, dia mengakui persatuan pemandu-pemandu teksi di negara kita tidak mampu untuk menyelesaikan isu ini. Ada orang yang sudah bertahun-tahun membawa teksi tapi masih belum lagi berupaya memiliki permitnya sendiri. Ada saja alasan yang diberikan oleh pihak berwajib mengenai statusnya untuk memiliki permit teksi. Tapi bila saja syarikat memohon untuk memiliki permit teksi ini, mudah saja arahan dikeluarkan dan diberikan secara terus kepada syarikat-syarikat teksi. Tentu sekali tak adil, betul tak? Pada tahun lepas, seorang ahli Parlimen dan juga menteri kabinet, Datuk Nazri pernah disoal tentang pemberian 300 permit teksi kepada syarikat-syarikat teksi yang sepatutnya diagih-agihkan kepada para pemandu teksi. Sampai sekarang BPR masih lagi berdiam diri tanpa mendedahkan hasil siasatan kes itu.

Hanya satu saja cara yang membolehkan mereka mendapatkan permit teksi individu dengan cepat iaitu dengan memberikan rasuah kepada pihak berwajib. Haaaaa.. ini dah jadi kes tak baik kan? Tapi hanya inilah saja caranya bagi mereka untuk memperolehi permit teksi mereka.
Sekurang-kurangnya apabila pemandu teksi memiliki permitnya sendiri, maka dia tidak perlu membuat bayaran harian kepada syarikat teksi. Cukup untuk diri sendiri dan belanja ke atas teksinya. Itu saja.

Di mana wakil rakyat kita bila bicara soal permit teksi ni ek?

No comments: