Monday, December 06, 2004

Asap Kenangan

Okay, semua sure pelik sebab apa kena mengena antara asap dengan kenangan? Ahhh..macam ni sebenarnya. Tadi aku baru balik dari breakfast di Pollock Commons. Sambil makan pancake tu, aku tenung-tenung juga la kat pancake tu. Mana tahu kalau cukup masa aku tenung pancake tu, nanti dia tukar jadi roti canai ke, tukar jadi sepinggan nasi lemak ke, paling cokia pun jadi nasi goreng yang mummy masak. Tapi sayang, pancake tetap pancake biar pun habis licin aku perabihkan sambil cicah dengan maple syrup.

Anyway, nak dijadikan cerita balik dari breakfast, aku berselisih dengan bas CATA. Satu-satunya servis bas penumpang yang ada di State College, ala-ala Intrakota gitu. Tapi lagi tepat dan efisyen jadual waktunya.

Sambil lalu belakang bas tu, aku terbau la asap dari bas tu. Ada sikit-sikit bau macam diesel, standard minyak guna dalam bas. Secara automatik, kepala otak aku register bau tu and terus teringat suasana dalam Stesen Bas Pudu dan Stesen Hentian Putra.

Aku suka Hentian Putra. Maybe sebab aku dulu masa kecik-kecik naik bas ekpress dari Hentian Putra ke Kuala Krai. Memang dulu masa kami kecik-kecik, papa suka hantar kami bertiga balik kampung di Kelantan dengan bas ekpress. Tak silap aku, dulu naik bas ekpress SKMK, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan. Tak pun naik Molek Ekpress. Entah-entah, Molek Ekspress dan SKMK tu dua menda yang sama. Wallahu'alam. Sekarang ni aku rasa dah tak ada dah kot Molek Ekpress tu. Yang ada Transnasional, Mutiara Ekpress and ntah apa-apa lagi ntah.

Papa selalu pesan kat driver bas ekpress tu suruh tengokkan kami 3 beradik ni. Maklumlah, semuanya masih lagi kecik-kecik, takat-takat sekolah rendah lagi. Iskk, terasa macam dikirim barang ikut pos saja. Tapi yang terasa bestnyer sebab dapat travel sendiri. Along selalu kena duduk sorang-sorang, aku dan angah selalu duduk bersama. Makanan pun selalu share dengan Angah. Yang tak best, Along yang selalu pegang bekalan makanan. So, dialah yang kontrol boleh makan ke tidak. Hampeh!

Suasana di Hentian Putra sangatlah meriah, bagi aku. Penuh dengan orang Kelantan. Bunyi orang bercakap loghat Kelantan ada di mana-mana. Meriah dengan hiruk pikuk bunyi bas keluar masuk dari stesen. Suara tukang jual tiket bas pun tak kurang kuatnya. Warung-warung tempat makan ada di tingkat dua di belakang stesen. Aku tak pernah makanlah kat situ masa kecik-kecik dulu. Cuma bila dah besar ni, pernahlah singgah sekali dua makan di situ. Taklah sesedap mana. Baik makan di kedai makan tingkat 3 di Medan MARA. Murah pun murah, sedap pun ya juga!



Suasana di Puduraya pun lebih kurang sama juga dengan Hentian Putra. Bezanya, Puduraya jauh lebih sibuk dari Hentian Putra sebab semua perkhidmatan bas ekpress untuk destinasi pantai barat ada di situ. Waktu dulu-dulu, kalau tak silap aku, bulatan Puduraya belum sebesar yang ada sekarang ni. Bas mini berpusu-pusu berhenti di bawah jejambat di tepi Puduraya, yang sekarang ni menempatkan tempat jalan kaki menghubungkan antara LRT Plaza Rakyat ke Puduraya. Aku dulu selalu ambil bas mini dari Bandar Tun Razak dan berhenti di situ setiap kali waktu 'keluar bandar' masa di Sekolah Alam Shah dulu. Cuma tak silap aku, bila aku form 2 baru diorang tutup jalan tu dan kemudian besarkan jalan Pudu.

Puduraya bukan saja sibuk dengan orang yang balik kampung tapi sibuk juga dengan peminta sedekah. Ramai peminta sedekah, lengkap dengan aksesori anak-anak diorang (aku pun rasa cam ragu-ragu ajer nak percaya kalau tu anak diorang), dan juga secawan kosong tekun menunggu sesiapa yang bakal mencampakkan barang seringgit dua ke dalam cawan diorang. Kadang-kadang kita rasa sedih juga, kadang-kadang rasa menyampah tengok orang-orang sebegitu. Tapi hal tu, mungkin aku boleh komen lain kali.

Puduraya juga sibuk dengan teksi hitam kuning dan kereta sewa. Dulu lah, sekarang teksi dah pakai baju baru, kaler merah putih. Kereta sewa pulak boleh dikira 'kereta mewah' sebab kebanyakannya guna kereta Mercedez Benz. Tapi keluaran 50an, 60an dan 70an la. Nak sopan sikit, kita sebut kereta 'vintage'. Hehehehe..

Aku pertama kali merasa kesibukan Puduraya seawal pagi masa Acap mintak aku temankan dia ambil awek di Puduraya. Masa tu orang tengah hangat bercinta, bangun jam 5 pagi untuk ambil awek di Puduraya baru sampai dari Kelantan pun sanggup. Aku jugaklah mata berkelip-kelip temankan dia dari Taman Tun Dr Ismail. Lama juga tunggu di situ. Di Puduraya tak ada papan tanda 'delay' ke, 'on-time' ke, macam di airport gitu. Nak tak nak, kena tunggu. Sambil tunggu di situ, terjumpa pulak Rush yang nak balik ke Ipoh. Tolong dia angkat beg-beg dia. Tak apa, member punya pasal, aktiviti nak buat taik mata dalam kereta kita lupakan.

Bila hari beransur-ansur pagi, aktiviti di Puduraya jadi makin rancak. Bas-bas makin banyak masuk. Asap pun makin banyak berkepul-kepul. Beribu-ribu manusia keluar masuk dari stesen Puduraya tu. Tapi batang hidung awek si Acap belum nampak lagi. Jadi aku kata, "Weh, aku masuk kereta kau dulu. Ngantuk tak ingat nih! Bak sini kunci kereta!". Bila aku membuta dalam kereta Acap, tahu-tahu dia ngan awek dia kejutkan aku. Kitorang pi breakfast makan roti canai kat restoran mamak di sebelah Metrojaya Sinar Kota. Sekarang ni, Metrojaya Sinar Kota tu dah kena tutup, ganti dengan Mydin Wholesale pulak. Ternyata mamak lebih pandai berniaga dari eksekutif jualan Metrojaya. Pekena roti canai telur pagi-pagi buta, memang ubat mujarab untuk celikkan biji mata aku pagi tu!

Hmm..makin lama ni, makin banyak hati aku dah sampai ke M'sia. Makin rindu pada suasana di Kuala Lumpur. Betullah orang kata, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pulak tempat bergolek, tempat bertepuk tampar, tempat melepak dan bermacam-macam tempat lagik lah!

No comments: