Friday, November 28, 2008

Apa Yang Aku Pikir Pasal Situasi Ekonomi Negara

Macam aku kata hari tu, ada banyak benda yang aku nak tulis kan? Memang betul banyak pun, in fact, berlambak ajer aku rasa. Tapi mostly samada datang dari cabaran kerja atau pun banyak khayalan dalam kepala ajer.

Sekarang ni tengah orang dok sibuk berbahas isu ekonomi nak jatuh merudum. Orang awam sibuk dok anticipate apa yang akan jadi pada tahun depan. Macam mana prospek kerja masing-masing and macam mana langkah-langkah yang patut diorang ambik. Atau pun, tak kurang juga yang dok bitching pasal apa kerajaan kita masih lagi dalam denial. Aku tahu ada beberapa syarikat dah pun mulai tutup atau pun mengurangkan operasi di Malaysia macam BASF, Citibank and a few others. Ni semua bahana krisis ekonomi di US la ni.

So, sapa kata sekarang ni still ada job security? Itu semua illussion ajer, percaya la cakap aku. There is no more security over your job. The only secured job is with the government, itu pun kalau kerajaan kita still mengamalkan perbelanjaan secara tak berhemah (amalkan defisit bajet yang tinggi setiap tahun). Tak lama lagi, mana mampu kerajaan untuk tanggung dan serap semua kesan pengangguran. Kos untuk tanggung perbelanjaan kerajaan dibayar oleh 1.1 juta rakyat yang membayar cukai. Jumlah ini membayar cukai bagi membiayai gaji civil servants seramai 1.2 juta orang. Tapi 1.2 juta orang ni bukan semuanya competent. Ada yang layaknya dibuang kerja sebab mutu kerja tidak sehebat yang disangkakan. Ada yang hanya tunggu gaji buta-buta masuk dalam akaun mereka pada setiap hujung bulan tapi servis yang diberikan macam entah apa-apa.

Apa-apa pon, berbalik pada kisah ekonomi merudum. Kita masih lagi tak tahu samada bentuk economic downtrend ini berbentuk U-shaped atau pun V-shaped. Kalau V-shaped, kita bernasib baik sebab bila ekonomi jatuh secara linear hingga ke paras terendah, market akan rebound semula dalam jajaran linear juga. Maksudnya, tempoh rebound ini akan jadi pendek. Tetapi kalau ekonomi kita merosot dalam bentuk U-shaped, ini akan mengambil tempoh masa yang lama untuk recover. Statistik yang aku lihat sendiri dari pemulihan pasaran ekuiti Malaysia biasanya mengambil masa dalam tempoh 12 hingga 24 bulan. Pasaran ekuiti US sendiri secara lazimnya mengambil masa selama 16 bulan untuk mengalami pemulihan daripada kelembapan ekonomi.

Mengikut laporan majalah TIME, ada mengatakan ekonomi US akan bertambah baik menjelang musim panas 2009. Mungkin ada betulnya juga sebab sekarang tempoh economic downtrend bagi US sudah melebihi 12 bulan bermulanya sejak krisis sub-prime bermula pada bulan Julai tahun 2007. Apakah dengan ditambah rancangan USD 700 billion stimulus package oleh pentadbiran Presiden Obama nanti dapat membantu memulihkan ekonomi Amerika? Mungkin ya, mungkin tidak. Banyak kemungkinan di situ.

Apabila ekonomi Amerika semakin pulih, pasaran ekuiti kita pun pasti akan bertambah baik disebabkan sentimen pelaburan. Sebetulnya tiada kaitan antara real economy and equity market. Tapi disebabkan nilai pasaran saham yang menguncup biasanya akan menyebabkan modal pasaran sesuatu syarikat akan meruap, jadi syarikat akan menghadapi masalah untuk mencari modal untuk menampung perbelanjaan operasi dan aktiviti syarikat. Kalau ini terjadi pada skala yang besar, maka akan pasti banyak syarikat akan gulung tikar kerana kekurangan modal.

Mujurnya Malaysia ini dipunyai oleh ramai rakyat yang banyak menyimpan dan juga melabur, terutama sekali dalam instrument pelaburan unit amanah. Simpanan deposit rakyat Malaysia dalam sistem kewangan kita adalah antara yang terbesar di Asia. Simpanan tetap rakyat Malaysia dalam bank-bank seluruh negara melebihi RM 200 billion. Ini tidak dicampur dengan simpanan wang di KWSP yang melebihi RM 300 billion. KWSP sendiri menjangkakan simpanannya akan mencecah angka RM 500 billion pada tahun 2010 atau 2011. Jadi kita memang flush dengan cash untuk menampung aktiviti-aktiviti ekonomi.

Persoalannya di sini ialah bagaimana kita mahu merangsang ekonomi negara? Langkah yang diambil oleh BNM untuk menurunkan OPR pada hari Isnin lepas mungkin satu langkah yang tepat. Base lending rate (BLR) akan turun dan justeru itu, banyak bank akan dapat memberikan pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah. Ini akan memberi peluang kepada rakyat dan syarikat-syarikat untuk meminjam daripada bank untuk aktiviti ekonomi. Bila berlakunya banyak aktiviti ekonomi, seterusnya kita dapat halang ekonomi kita dari jatuh terduduk.

Stimulus package yang diumumkan oleh kerajaan pada baru-baru ini masih lagi menjadi tanda tanya, terutama sekali pada kaedah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM 7 billion bagi tujuan ini. Apakah kerajaan akan mengeluarkan treasury bond, atau pun kerajaan akan meminjam daripada KWSP atau pun dari pihak luar bagi tujuan ini? Jika kerajaan bercadang untuk meminjam daripada KWSP, maka kerajaan mesti bertanggungjawab dalam pembayaran balik kepada badan ini kerana ia melibatkan dana orang awam. Kerajaan perlu telus dalam soal ini. Ini penting bagi meraih pelabur-pelabur tempatan dan juga sokongan rakyat terutama dalam situasi genting sekarang ini. Sekiranya kerajaan ingin mengeluarkan bond bagi meraih extra cash, maka kerajaan perlu mengambil kira kos berhutang memandangkan sovereign rating negara kita telah jatuh daripada A+ kepada A-. Penarafan semula ekonomi negara kita menyebabkan kos berhutang meningkat dan pelabur luar melihat perkembangan ekonomi negara kita sebagai kurang menarik berbanding dahulu. Jadi, kerajaan perlu ambil kira perkara ini dalam matematik pengurusan pakej ransangan ini. Adakah kita mampu berbuat demikian?

Simpanan negara kita dalam bentuk foreign reserve juga sudah menyusut disebabkan perbelanjaan BNM untuk menyerap semula wang kita di pasaran tukaran matawang untuk mempertahankan nilai ringgit baru-baru ini. Pendapatan negara untuk tahun depan pasti akan berkurang kerana kejatuhan nilai komoditi di pasaran antarabangsa kerana negara kita bergantung sebanyak hampir 41% atas pendapatan minyak kita (dengan kata lain, pergantungan kita ke atas PETRONAS semakin meninggi). Harga minyak setong sudah pun menurun melebihi daripada 50% daripada harga puncaknya sekitar USD 147 setong (harga minyak setong pada masa ini berlegar sekitar USD 50 hingga USD 60 setong). Ini belum dicampur dengan hasil kutipan cukai perniagaan yang semakin menguncup disebabkan keuntungan yang berkurangan yang dicapai oleh entiti perniagaan pada tahun 2008.

Tambah lagi pada masakini, kerajaan tidak lagi menanggung subsidi minyak tetapi menerima pulak pendapatan hasil daripada nilai minyak yang rendah di pasaran. Makna kata, rakyat sepatutnya menikmati harga minyak yang lebih rendah lagi tetapi polisi kerajaan untuk menyekat harga minyak pada kadar tertentu, jadi kini kita pulak yang bagi subsidi pada kerajaan atas perbelanjaan minyak petrol harian kita. Jadi kerajaan perlu menghebahkan kepada rakyat atas keuntungan yang diraih ini bagi mengwujudkan akauntabiliti.

Ketika inilah kerajaan sepatutnya mengamalkan perbelanjaan berhemah. Laksanakan sistem tender terbuka bagi mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan dan juga kualiti kerja. Langkah mengurangkan energy reserve kita juga penting kerana negara kita mempunyai energy reserve setinggi 40% di mana kebanyakan negara di luar sana hanya meletakkan had sebanyak 20% sahaja pada simpanan tenaga mereka. Jadi kos extra 20% ini ditanggung secara tak langsung oleh kerajaan dan juga rakyat melalui pemberian subsidi kerajaan pada pembekal tenaga (IPP). Kerajaan juga harus menurunkan tarif elektrik kerana nilai komoditi seperti arang batu dan juga minyak diesel telah turun di pasaran. Apa yang patut ditekankan ialah pengurusan kontrak jualbeli tenaga yang efektif baik dari pihak TNB mahu pun di pihak kerajaan dengan IPP dalam mengimbangi perbelanjaan ini. TNB juga perlu mengurangkan defisit dalam menguruskan capital expenses mereka untuk memastikan rakyat menikmati tarif elektrik yang kompetitif.

Jadinya, di manakah peranan rakyat dalam menangani krisis ekonomi negara? Kita mesti terus menerus melobi wakil rakyat kita supaya melupakan sengketa kepartian dan memfokuskan segala sumber dan kepakaran untuk mengharungi krisis ekonomi ini. Kita mesti menulis surat, menelefon, bercakap dan berdiskusi dengan wakil rakat kawasan masing-masing bagi melahirkan rasa kegusaran kita untuk tahun 2009 nanti. Kita harus tekan wakil-wakil rakyat yang dilantik, tidak kira daripada Barisan Nasional atau pun daripada Pakatan Rakyat, supaya fokus pada keperluan rakyat umum.

Kita juga mesti meletakkan kepercayaan penuh kepada pasaran ekuiti negara. Aktiviti pelaburan dalam sektor sekuriti mesti diteruskan seperti biasa bagi membiayai aktiviti perniagaan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Pasaran saham kita ialah enjin ekonomi bagi satu-satu negara. Itu juga menjadi satu penanda aras bagi tahap ekonomi satu-satu negara. Bagaimana kita mahu negara kita bertahan daripada arus negatif pertumbuhan ekonomi kalau kita sendiri tidak mahu menyokong aktiviti ekonomi negara sendiri? Bukankah itu tidak bersifat patriotik, bahkan mengkhianati negara sendiri?

No comments: