Wednesday, January 25, 2006

Belasungkawa Buat Kak Chom

Image hosting by Photobucket

Pagi semalam sewaktu aku sedang bersedia untuk bekerja, aku menerima satu panggilan dari Bak di Kelantan. Satu berita kematian. Kak Chom, anak Mak Ngah di Kota Tinggi telah kembali ke rahmatullah kerana kemalangan di jalanraya.

Secara jujurnya, aku tidak berasa apa-apa semalam. Baik dari segi hati mahu pun juga perasaan. Barangkali aku kurang kenal dengan sepupuku itu. Hanya sekali saja aku pernah berjumpa dengan arwah. Itu pun ketika Kak Chom baru tamat sekolah menengah. Ketika itu aku masih lagi budak kecil bersekolah di sekolah rendah.

Kak Chom punya seorang kakak, bernama Kak Yon, dan dua orang adik. Kak Norlie dan juga Abang Mamat. Kak Chom tinggi-tinggi orangnya. Kulitnya putih, kalau tak silap aku.

Hanya satu kenangan yang aku teringat tentang dia. Kak Chom, orangnya lawa. Peramah dengan kami ketika kami datang bertandang ke rumah Mak Ngah waktu dulu-dulu. Kak Chom tak betah melayan aku semasa aku di sana.

Apa yang membuatkan aku terkedu tentang berita kematiannya bila aku membaca berita kematiannya di suratkhabar. Kalthum binti Mustafa. Itulah namanya. Dan itulah juga kali pertama aku mengetahui nama sebenar sepupu aku sendiri. Yang lebih menyentuh hati aku bilamana akhbar melaporkan arwah sempat membuat 3 panggilan telefon kepada suaminya di saat dia menghampiri sakaratulmaut.

Hanya ketika itu air mata aku menitik. Terharu bila aku mengingati kembali tiap baris ayat laporan kemalangan arwah. Arwah sempat bercakap dengan suaminya sebelum dibawa ke hospital. Kata papa, Kak Chom meninggal apabila sampai di hospital.

Hebatnya kasih sayang dia pada suami sehinggakan waktu bertarung dengan malaikat maut, dia masih belum hilang ingatan pada suaminya. Meninggalkan dua orang anak, aku kira keluarga Mak Ngah tentunya bersedih dengan pemergian arwah ke rahmatNya.

Pengajaran buat aku - bicarakan kata kasih dan sayang pada orang yang tersayang sementara mereka masih ada bernafas di sini. Andaikata waktu mereka sudah tamat di atas muka bumi ini, tiada lagi 'the right time', tiada lagi 'quality time'. Yang ada hanya 'time-out'.

Al Fatihah buat arwah Kak Chom.

No comments: