Thursday, March 17, 2005

Kerja Keras Untuk Masa Depan



Siapa kata duit tak perlu? Orang yang hidup dalam mimpi saja katakan duit tak perlu. Tapi duit tu bukanlah segala-galanya. Duit bukan tuhan yang membuatkan kita jadi hamba kepadanya. Tapi duit juga penting untuk meneruskan kehidupan yang agak selesa berkadaran dengan kemampuan kudrat kita dan juga keperluan kita.

Aku di sini bekerja keras siang malam untuk mengumpul duit. Waktu cuti sekolah, aku kira dapatlah untuk berehat. Tapi nampak gayanya, waktu cuti sekolah lah yang buat aku makin lelah. Kelas tusyen siang dan malam, tak berhenti-henti. Dari jam 10.30 pagi sampai ke 3 petang aku mengajar tusyen Matematik Moden pada pelajar-pelajar Tingkatan 4 & 5 dan juga Matematik & Sains pada pelajar Tingkatan 3. Kadang-kadang berkejaran antara satu pusat tusyen ke satu pusat tusyen yang lain untuk memenuhi permintaan taukey di situ. Habis saja jam 3 petang, aku ambil peluang berehat dan buat apa yang perlu untuk diri sendiri.

Jam 3.30 petang hingga 4.30 petang, aku akan sambung mengajar tusyen secara percuma pada seorang pelajar Tingkatan 5. Aku anggap itu amal jariah aku untuk bantu orang tak berkemampuan. Aku juga percaya pada potensi yang ada dalam diri seseorang manusia. Perlu dibantu sekiranya seseorang itu kekurangan 'means' untuk membantu dirinya. Hati ni terasa juga meronta-ronta untuk berehat dan terlentang berdengkur di katil waktu petang hari tapi dipaksa juga melawan letih. Pada penghujung hari, suara aku yang tinggal 2/5 daripada asalnya.

Balik rumah selepas singgah di masjid untuk solat asar, memang sah-sah aku terlentang di katil. Buku-buku teks semuanya ditinggalkan dalam motor kapcai Angah. Kalkulator pun tak sempat dipunggah ke dalam rumah. Tinggalkan saja, katil lebih penting. Lelap pun tak lama, cuma sejam ajer.

Jam 8 malam bermula balik kelas tusyen aku. Hingga 10 malam. Aku kira cukup bernasib baik kalau dapat tamatkan pada jam 9.30 malam. Pulang ke rumah dengan niat mahu tidur, tapi bila jam mencecah 3 pagi barulah mata ni nak terlena. Puas bergolek atas katil macam ayam golek, tapi mata tak juga mahu padam. Yang terpadam hanya lampu bilik. Hampas!

Nanti bulan April aku akan mula bekerja di PJ. Terpaksalah aku amik lesen bawak motor. Sekarang ni asyik bawak motor secara haram ajer, tapi still bergaya bawak motor macam orang dah ada lesen 20 tahun. Takut-takut kalau polis traffik buat road-block di Pandan Indah, memang habis aku kena tangkap masuk lokap. Motor Angah pun nanti kena naik lori. Hmm..ada sesiapa tahu kat mana boleh dapat 'lesen terbang'?

Aku rasa aku masih lagi mahu teruskan mengajar di pusat tusyen tapi hanya pada belah malam. Boleh tahan jugaklah pendapatan dari mengajar tuition ni. Tambah-tambah lagi, aku rasa semangat kalau dapat mengajar budak-budak ni. Rasa seronok.

Dalam kepala otak ni penuh dengan perancangan yang lain-lain. Tapi tak boleh cerita sekarang ni. Kena atur strategi baik-baik. Semuanya untuk dapat pendapatan yang lain pulak. Kerja keras, hidup mesti cekal. Hati mesti tabah, biar ada seribu ujian atau halangan yang datang.

"Nanti bila aku sudah dewasa..inginku menjadi pemimpin negara. Akan kubela nasib kita, itulah sumpah anakmu.." - Lagu Untuk Ibu, M Nasir.

No comments: