Sebuah Anekdot
"kasih..usah bak suria kau hadir
persis ombak memukul ke sisi
bimbang cinta terusik
kerna rindu
pastikan lahir..air mata setia mengalir
berjanjilah, ia tak mungkinkan berakhir."
Terkadang bila menyusuri jalan kenangan, memang tak dapat dilupakan tiap kerut wajah si gadis manis yang selalu terbayang di lubuk hati ini. Bundar wajahnya, putih dan mulus sekali. Bila dia tersenyum, terasakan seluruh alam semesta berhenti berputar kerana terpana dengan senyumannya. Suaranya agak jarang kedengaran, cuma senyuman yang selalu menghiasi sebuah wajah yang putih bersih. Tapi yang nyatanya, tatkala dia berbicara, semua orang akan terdiam dan menatap tiap bait perkataan yang keluar dari mulutnya yang mungil itu. Halus.
Ah, sungguh hati ini terusik bila terkenang kenangan lalu yang melintasi jalan hidup ini.
"Berapa lama lagi mahu membawa beban ini?".
"Beban? Beban apa?".
"Beban di situ. Beban pada seketul daging yang diciptakan Tuhan daripada tanah yang paling busuk. Seketul daging yang menentukan baik buruk satu-satu manusia".
"Oh, maksud kau, yang ada di sini. Kalbu?".
"Iya, kalbu!".
"Ah, nama pun kalbu, asal perkataan dari Bahasa Arab. Maksudnya yang senantiasa berbolak balik. Tapi orang Melayu kita sebut, hati".
"Peduli! Bila mahu dilontarkan beban itu jauh-jauh?".
"Kenapa harus dilontarkan ya? Bukankah kita manusia suka hidup dalam angan-angan yang tulus mulus. Yang muluk-muluk, kata orang seberang!".
"Ya Tuhan!".
Sebuah senyuman mulai menghiasi wajahnya. Raut wajah 'cahaya penawar'nya kembali mengisi ke ruangan minda. Di situ ada semangatnya. Di situ ada penawarnya. Di situ, kenangannya bersemadi. Dan dia akan sentiasa kembali ke daerah kenangan sepi untuk menghidupkan batang tubuhnya, untuk melakarkan kembali warna-warna yang pernah dia rasai dan mencalitkan semula ke kanvas kehidupan dia. Moga di situ dia ketemu raut wajah yang sama. Moga di situ dia akan kecapi apa dia gagal takluki di ruang fana.
disclaimer : naratif spontan. tiada kena mengena dengan yang hidup mahu pun yang mati.
No comments:
Post a Comment