Wednesday, August 18, 2004

Menjelang Hari Jadiku

Lebih kurang tinggal dua minggu lagi untuk kita semua menyambut Hari Kemerdekaan di Malaysia. Aku pun gembira juga sebab lebih kurang dua minggu lagi untuk aku sambut hari jadi aku. Gembira sebab dipinjamkan lagi umur untuk aku. Gembira sebab negara kita masih merdeka. 'Gembira' juga sebab masih lagi UMNO memerintah. Maklumlah, memang dah kena sangat dengan slogan kebanggaan dia orang, "UMNO, dulu, kini dan selama-lamanya".

Tapi ramai orang lupa yang tak ada benda yang kekal selamanya dalam dunia ni. Kalau ikut hukum alam yang aku dah sedia tahu, tiada apa yang kekal dalam dunia ni melainkan Dia. Samalah dengan kemerdekaan kita, samalah juga dengan umur aku. Esok lusa boleh hilang ditarik nyawa, tulat tonggeng pun boleh hilang kemerdekaan kita.

Kalau kita tenung sejenak, banyak sebab yang boleh buat kita hilang nyawa. Sama juga dengan hal kemerdekaan, banyak juga asbab musabab kemerdekaan kita hilang. Nyawa hilang sebab tuan punya badan tak pandai menjaganya. Nyawa melayang sebab ramai abang adik kita suka main lumba haram. Yang untungnya tauke-tauke Cina yang tunggu tepi jalan untuk catat nombor plet motorsikal yang kemalangan, untung-untung nombor tu naik untuk nombor ekor. Merdeka juga boleh hilang kalau-kalau kita juga tidak menjaganya. Yang ramai menanti di luar sana, ialah kuasa-kuasa imperialis yang rakus mahu menggali segala jenis khazanah negara kita punyai.

Tanda-tanda merdeka kita semakin terhakis bila penguasa menyalahgunakan mandat yang diberi rakyat. Roh demokrasi pun tinggal nyawa-nyawa ikan. Konon-konon demokrasi terpimpin, tapi apakah itu demokrasi terpimpin? Kata pak tua seorang mesti didengar, kalau tidak dinamakan penderhaka. Paling kurang kena tuduh tak kenang budi, tak gitu? Itu bukan demokrasi kalau namanya seorang. Demos itu dari asal kata latin, maksudnya orang ramai. Orang ramai, bukan seorang. Aku ulang lagi sekali, orang ramai atau kata orang taman perumahan aku, rakyat, dan bukan seorang. Justeru perlu kita fahami, demokrasi seperti ini bukan demokrasi namanya. Itu namanya diktatorkasi, kalau ikut pemahaman aku yang cetek ilmu siasah politik.

Soal merdeka ini soal yang besar. Soal yang wajar dibicarakan oleh semua orang, dan bukan hak exclusive politikus. Soal merdeka ini soal rakyat. Merdeka ini ada banyak cabangnya dan boleh dilihat dari pelbagai sudut. Antaranya, merdekakah jiwa kita dari dibelenggu Akademi Fantasia 2, atau pun, merdekakah jiwa kita dari dibelenggu fahaman politik, "only one party rules the country". Eh eh, bunyi macam Lord of the Ring pulak, only one ring rules them all.

Ramai yang kata, "alah, sudah-sudahlah bangkang kerajaan. Biasiswa pun kerajaan yang beri, buat apa nak cakap banyak? Ikut sajalah". Ewah, ewah, 4 tahun mengaji di menara gading tapi otak masih lagi bebal, sangkut dengan pemikiran "tak apalah". Inilah dia produk sistem pendidikan kita yang diajarkan supaya patuh pada penguasa. Dulu masa di sekolah rendah, aku teringat pasal hak karangan kertas BM. Tajuknya, "Kelebihan Membina Lebuhraya". Banyaklah yang letak begitu begini. Kalau letak yang bertentangan, mesti markahnya rendah. Siapa yang menentang pulak, tentu markahnya adalah dekat-dekat dengan angka sifar. Jadi pemikiran tidak sebulu dengan kerajaan sudah pun dihapuskan sejak dari kecil. Kita tidak dibenarkan berfikir luar dari kerangka kelaziman pemikiran masyarakat. Pemikiran rigid - hanya dacing saja dibenarkan, kalkulator, sempoa, jari dan lidi tak dibenarkan wujud. Kalau beralih pada benda yang lain, semua jadi susah, semua jadi benak.

Kalau beginilah selama-lamanya cara kita berfikir, mungkin aku akan sambut harijadi aku dalam sayu hiba satu hari nanti. Mungkin Malaysia juga akan tidak merdeka lagi. Sebabnya roh kemerdekaan itu pun sudah hilang, tiada lagi ruang suara untuk rakyat berbicara sedangkan mandat memerintah itu sebenarnya bebanan khadam. Penguasa yang ada pada hari ini perlu faham, mereka ini khadam bagi rakyat dan bukannya tuan bagi rakyat. Tapi nampak gayanya, mereka ini berlagak umpama tuan yang malas tapi angkuh, pantang ditegur pantang disebut tapi mahu dipuji mahu diampu sepanjang masa.

Inilah yang aku rasa, menjelang hari-hari menyambut hari jadi aku.

No comments: