Ermm...hari bapak? hari walid? hari ayah dan abah? Kenapa kena sambut sekali setahun? Naper tak sambut hari-hari? Entah, ikut gaya mat salleh kot. Orang Melayu takde la pulak ada budaya sambut hari bapak setahun sekali ni. Muslim lebih-lebih lagi, sebab kita selebret hari ayah hari-hari dengan hormat kata ayah, akur dengan perintah ayah.
Okay ler, dah alang-alang hari ayah, aku sambut la jugak kan hari ayah tapi dengan cara aku sendiri.
Nama ayah aku Mohd Nor bin Mokhtar. Aku panggil ayah aku papa. Papa lahir tahun 1948, kira-kira 3 tahun selepas Perang Dunia ke 2 tamat secara rasminya. Aku memang tak hafal tarikh lahir papa sebab dalam family aku, kami memang tak pernah celebrate birthday sapa-sapa. Memang papa tak pernah cakap pun tarikh lahir dia sampai aku sendiri tanya dia. In fact, papa tak pernah bagitau apa apa pun pasal personal life dia pada kami melainkan bila kami tanya. Papa lahir dalam keluarga pesawah. Tok Mokhtar seorang pesawah, sama juga dengan atuk perempuan aku, fondly known as Mak Long Timah among relatives. Tok Mokhtar meninggal sekitar tahun 1982 - 1984 akibat disantau orang. Aku masih kecik lagi waktu tu, tak tahu semenda. Kata Ucu, papa banyak mewarisi raut wajah dan susuk tubuh Tok Mokhtar.
Papa pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dato Manan di Tanjung Karang, Kuala Selangor. Selepas tu papa dapat masuk ke sekolah pertukangan di Tanjung Karang. Ketika itu, hanya ada tiga buah sekolah pertukangan ajer di Malaya. Di sana papa belajar macam-macam, dari bertukang kayu sampai ke baiki enjin kereta dan bercucuk tanam. Kata papa, sekolah vokasional hari ini atau lebih dikenali dengan nama sekolah teknik bermula daripada penubuhan sekolah pertukangan dulu. Habis pendidikan papa di sekolah pertukangan, dia jadi buruh FAMA sekejap. Papa pernah cerita kat aku, waktu tengah rusuhan kaum tahun 1969, papa bekerja sebagai buruh dengan FAMA untuk kutip sayur-sayuran dari orang Cina di Sekinchan untuk dihantar sebagai bekalan makanan kepada orang-orang Melayu yang terkepung di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ketika itu hanya lori-lori FAMA saja yang dibenarkan masuk. Itu ajer la citer sikit yang aku dapat dari papa pasal riot 1969.
Kemudian papa masuk polis. Tak silap aku, papa join Pasukan Polis Hutan dulu sebab aku pernah nampak uniform PPH dalam almari lama kat rumah dulu. Lepas tu baru papa diserapkan ke dalam PDRM sebagai mata-mata. Papa ditempatkan di Balai Polis Kuala Krai, Kelantan dan di situ dia bertemu jodoh dengan mummy dalam tahun 1975 gitu. Kata papa, abang angkat dia yang juga seorang anggota polis yang tinggal di Kampung Gulang-gulang yang aturkan majlis walimah dia sebab keluarga papa jauh di Selangor sana. In fact, sampai sekarang pun kalau balik ke Kuala Krai untuk hari raya, papa mesti singgah ke rumah abang angkat dia and kenalkan kami semua. Aku memula ingatkan abang angkat dia tu salah seorang daripada saudara kami, tapi rupanya salah. Cuma abang angkat. Tapi papa sangat hormat pada abang angkat dia.
Selepas bertugas di Kuala Krai, papa diarahkan untuk berpindah ke Kota Bharu dan juga dinaikkan pangkat. Apa pangkatnya ketika tu, wallahu'alam. Aku memang tak tahu. Semasa di Kota Bharu lah papa dan mummy dianugerahkan dua orang lagi anak lelaki (along dilahirkan di Kuala Krai sebelum berpindah ke KB). Mummy dah start mengidam nak anak perempuan (sebab tu masa kecik-kecik dia pakaikan aku baju budak perempuan..tertekan sehhh aku!!!!).
Waktu papa muda-muda dulu, papa ada misai. Memang hensem habis la kalau tengok dalam gambar hitam putih dia. Memang nampak ciri lelaki sejati habis laa. Tapi sekarang ni, papa dah tak simpan misai dan janggut dia. Along pun ada ikut rupa papa waktu muda-muda dulu. Aku pulak ikut serabai papa waktu papa malas nak cukur misai dan janggut dia. Hehehehe..den kalo time maleh nak bercukur, memang rupa cam hantu sikit lah. Aini ngan Aida selalu sound suruh aku shave misai ngan janggut nih.
Papa ni memang tak banyak bercakap (tempias pada along). Tapi yang aku pelikkan, dia memang pandai bab-bab personal relation ni. Pandai masuk dengan crowd. Kalau kat rumah tu, dia banyak habiskan masa dengan baca surat khabar. Pagi baca suratkhabar, tengah malam sebelum tidur pun papa akan baca suratkhabar dari mukasurat ke mukasurat yang lain (tempias ke aku). Dulu waktu dia muda sket dari sekarang ni, papa suka tengok wrestling (tempias pada angah). Sekarang ni papa banyak habiskan masa dengan baca buku agama. Papa jugak seorang yang penyabar, jarang tinggikan suara and rajin buat kerja rumah (sekali lagi tempias kat angah). Lagi satu papa suka pada budak-budak kecik. Sebab tu rasanya mudah untuk mummy kerja jaga anak orang sebab papa dan mummy layan budak-budak yang mummy jaga macam anak sendiri. sayang sungguh papa pada budak-budak tu. Waktu ditatang, memang papa tatang sungguh. Tapi kalau waktu degil tak nak ikut cakap papa, memang kena marah sungguh. Setiap kali Abang Karim (bapak pada budak-budak yang mummy jaga) pening kepala nak layan karenah anak-anak dia, selalu la dia ugut nak panggil papa nak suruh marahkan budak-budak tu. Takut bebudak tu! Hehehehe..
Sekarang papa dah pun dinaikkan pangkat ke pangkat Sarjan Mejar, pangkat tertinggi yang dia boleh dapat berdasarkan taraf pendidikan dia. Sarjan Mejar juga dikirakan sebagai pangkat pegawai tertinggi dalam kategori pegawai rendah. Tangga gaji pun dah maksimum (apesal aku cerita pasal ni aa?). Sekarang pejabat papa di Ibupejabat PDRM Bukit Aman. Satu perangai papa yang aku sangat pelik - papa tak pernah pakai uniform polis di rumah. Papa pergi kerja pakai baju civilian dan tukar pakaian dia semasa di pejabat. Aku cuma pernah ternampak papa dalam uniform polis dia waktu dia datang melawat aku dengan kereta polisnya di PPP dulu sebab kebetulan dia ada mesyuarat pegawai-pegawai polis di Hotel INTEKMA, Shah Alam. Insya Allah papa akan pencen dari pekerjaan polisnya pada bulan 11 nanti.
Setahu aku, papa sangat minat memburu. Papa rajin pergi memburu di hutan dengan kawan-kawan memburu dia. Family aku kira dah biasa la makan daging ayam hutan, pelanduk, rusa dan kancil. Sedapnya memang toksah kata. Papa juga seorang penembak hebat. Dia selalu dapat pingat emas kalau ada acara menembak anjuran PDRM. For sure aku tak mo jadik penjahat berdepan dengan dia sebab sah-sah mati kena tembak tepat kat dahi nanti ngan dia.
Aku hormatkan papa bukan saja sebab dia ayah aku. Aku hormatkan dia sebab sikap dia yang bertanggungjawab pada family. Pada sikap dia yang gentleman pada mummy. Pada sikap dia yang penyabar dengan karenah anak-anak walau pun ada masa-masa dia hilang sabar. Pada rasa amik beratnya dia pada pendidikan anak-anak dia. Papa pernah cakap kat aku dulu-dulu, kalau dia tak cukup duit untuk sara pendidikan anak-anak dia, dia sanggup buat kerja part time untuk cukupkan keperluan pendidikan kami. Aku sekarang ni dah pandai la sikit-sikit man to man talk dengan papa. Dulu aku tak pandai sebab aku takut papa pikir macam-macam pasal aku. Cuma lately sejak aku berumur lebih 21 ni, baru aku pelan-pelan cuba man to man talk dengan dia. Walau pun papa taklah bersekolah tinggi macam ayah orang lain, tapi papa kaya dengan pengalaman hidup. Papa pun banyak rahsia hidup yang aku banyak tak tahu. Kadang-kadang bila aku dengar papa bercakap, gaya cakap macam orang masuk universiti. Hmmm..itulah hebatnya papa aku pada pandangan aku.
Hmmm...memang aku tak pernah cakap kat papa yang aku sayang dia gila babi. Biasa ler, konon nak jaga macho la kan. Anak jantan mana cakap emo-emo nih dengan bapak diorang. Cuba check sket, sesapa yang ada abang-abang atau pun adik lelaki. Tapi one day, aku nak cakap jugak pada dia yang aku sayangkan dia with my own words. Betapa aku sangat appreciate apa yang dia dah buat pada aku. Betapa aku terharu dengan pengorbanan dia tak kira siang malam kerja kuat nak sara keluarga. Betapa dia sangat-sangat bersabar dengan karenah mummy yang aku rasakan kadang-kadang terfikir, kenapalah papa kahwin dengan mummy ni?
"Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon Kau ampunkan dosa ayah dan ibuku. Aku mohon Kau sejahterakan kehidupan mereka. Ya Allah ya Rabbul Izzati, aku mohon Kau pulihkan kesihatan kedua orang tuaku. Seandainya mereka pergi terlebih dulu dari aku, aku mohon Kau tempatkan mereka berdua di jannah Mu kerana di situlah selayaknya mereka berada, ameen ya rabbi".
HAPPY FATHER'S DAY TO ALL THE FATHERS AROUND THE GLOBE.
No comments:
Post a Comment