Monday, May 03, 2004

Warkah dari Sdr. Anwar Ibrahim

Sdr. M*hd. F*rid yang dikasihi,

Seperti biasa, sdr membantu menyegarkan suasana suasana, memaksa saya berfikir dengan mengemukakan soalan bertalu-talu. Terima kasih.

Keputusan pilihanraya Pendang/Anak Bukit membuktikan bahawa dengan seluruh kekuatan jentera, dana dan media kerajaan BN, mereka belum dapat mematahkan semangat rakyat. Memang benar usaha mereka berjaya menimbulkan suasana dan budaya takut sepertimana yang menimpa sebahagian generasi muda. Namun, saya anggap ia bersifat sementara. Ia memerlukan dedikasi segelintir yang mampu menggilapkan idealisma generasi muda.

Mengenai AUKU, pendirian saya adalah konsisten kerana bertujuan membendung kebebasan berfikir mahasiswa. Meskipun saya tidak dapat menghapuskannya selaku Menteri Pendidikan, tetapi saya berikan kelonggaran kegiatan di Universiti. Malahan dalam draf Akta Pendidikan yang saya bentangkan dalam tahun 1989, AUKU dibatalkan. Tetapi setelah jawatan diganti, ia dikekalkan semula.

Sekali lagi, setelah melihat perkembangan pilihanraya kampus baru-baru ini, kesedaran mahasiswa masih meluas meskipun usaha memilih untuk lebih berhati-hati kerana tindakan kejam instrumen pemerintah.

Jenayah di kalangan kaum India dikenalpasti sejak dalam Jawatankuasa Kabinet Isu Sosial lagi. Tetapi pimpinan India khususnya dalam MIC cenderung menjaga kedudukan dan mengumpul harta. Ehwal rakyat bawahan yang melarat kurang diberikan perhatian.

Pembangkang agak terjejas sedikit kerana perpecahan PAS-DAP; kekeliruan akibat keputusan T'ganu memperkenalkan Enakmen Hudud dan Qisas, tindakan kerajaan menghebahkan isu keganasan dengan maksud menindas pembangkang. Walau bagaimana pun, Ustaz Abdul hadi nampaknya dapat menanganinya dengan bijak. pelancaran percantuman Keadilan-PRM mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat.

Belum ada kepastian mengenai pengunduran Dr. M. Dato Abdullah Badawi tidak dijangkan dapat membaw perubahan dalam sistem yang erba mencengkam dengan rasuah.

Kita perlu tingkatkan usaha dan ikhtiar. Saudara-saudara perlu membuat persiapan sebaiknya - keputusan akademik cemerlang, peribadi luhur, semangat kental, insya Allah.

Salam reformasi,

Anwar Ibrahim
8 Februari 2003.

No comments: