Saturday, April 17, 2004

Orang tua Berambut Putih Berkumis Nipis

Semalam aku lihat orang tua berambut putih berjalan-jalan di hadapan rumahku. Pagi tadi juga sewaktu aku menyiram pokok-pokok bunga di halaman, kelibat orang tua yang sama muncul juga. Sudah lama aku perhatikan kelakuannya. Siapakah dia? Dari mana asalnya orang tua ini? Kenapa dia selalu bersendirian?

Banyak soalan bermain di benakku. Pernah juga hati aku berkira-kira untuk bertanya pada orang tua itu secara berdepan-depan tetapi aku segan. Setiap kali aku ingin bertanya, setiap kali itulah lidah aku tersekat umpama diikat kemas. Dan setiap kali itulah juga orang tua itu berjalan melawati halaman rumahku sambil melemparkan senyuman tawar padaku. Redup matanya juga dalam meskipun dibayangi cengkung wajah tuanya itu. Aku rasa, aku kenal cahaya mata itu. Dia terus memandang aku sambil meneruskan langkah kaki tuanya. Aku tak mampu berbuat apa-apa melainkan menemankan perjalanan orang tua itu dengan pandangan kosong saja. Penuh misteri.

Hari berganti hari, siang berganti malam dan masa pun terus berjalan. Kelibat orang tua itu kini seolah-olah sudah menjadi tetamu tetap tetapi sebentar bilamana dia lewat depan rumahku. Sungguh pun aku berhari-hari nampak kehadirannya dalam hidupku namun jiran-jiranku pula tidak ketahuan langsung akan kewujudan manusia tua itu. Kata mereka, lorong di depan rumah kami ini tetap sunyi seperti biasa. Yang ada cuma deruan bunyi motorsikal dan motokar penghuni-penghuni lorong ini. Apakah aku hanya berilusi sendirian? Tidak mungkin rasanya!

"Sayang, pagi tadi waktu sayang sidai kain baju di luar, sayang ada nampak tak orang tua lalu depan rumah kita?".
"Haa??! Orang tua? Alin tak nampaklah bang. Jiran kita kah?", soal orang rumahku. Berkerut sedikit dahinya.
"Eh tak. Abang pun tak tahu. Cuma abang selalu nampak dia jalan depan rumah kita hari-hari", jelasku. Alin cuma mengangkat bahunya saja.

Aku terlongo sekejap. Kenapa hari ini dia tak muncul? Sakitkah dia? Sudah balik kampungkah orang tua itu? Dalam aku sibuk kemanguan diserang soalan bertalu-talu, hatiku tergerak untuk mengintai di balik langsir. Cuba mencari bayang orang tua yang berambut putih dan berkumis nipis.

Sudah hampir seminggu aku tidak nampak batang hidung orang tua itu. Hatiku makin gelisah. Aku sendiri tak tahu kenapa. Aku seolah-olah rindu dengan kehadirannya. Adakah aku ini diserang sejenis penyakit jiwa? Alin pun sudah banyak mengadu kepada aku yang aku mula tidak menghiraukan dia. Aku semakin banyak menghabiskan masa di beranda atau pun di pintu pagar seolah-olah menanti sesuatu.

Lama-kelamaan aku mengambil keputusan untuk bertemu dengan teman lamaku, Dr. Syahrin di HUKM sana. Syahrin atau nama gelarannya Ayen, kini memegang jawatan doktor dalam bidang kejiwaan menerima kehadiranku dengan wajahnya gembira.

"Kenapa kau datang tiba-tiba hari ni?".
"Aku tak tahulah Yen. Aku rasa aku ada penyakit", kataku sambil menghela nafas berat.
"Masalah? Problem dengan bini ke? Nak kahwin lagi satu?" soalnya selamba.
"Tak...aku dengan Alin tak ada problem. Kami okay. Hmm..kahwin lagi satu? Tak sanggup rasanya aku nak bahagikan cinta aku pada Alin dengan orang lain".

Aku lontarkan pandanganku ke luar tingkap.

"Habis tu? Amenda?".

"Yen...kau percaya tak kalau aku cakap, aku rasa aku ada penyakit jiwa?", soalku serius. Syahrin terdiam. Dia mula duduk bersandar di kerusi empuknya. Dia mula tenung muka aku. Aku pulak yang rasa rimas.

"Okay. Sekarang aku nak kau cerita pada aku - dari A sampai Z. Cerita pada aku macam mana kau boleh buat konklusi yang kau sakit jiwa," ujar Syahrin. Tangannya mula mencapai pen dan kertas. Nampak gayanya hari ini aku akan jadi pesakit pada rakan baik aku sendiri, getus aku sendirian. Aku mula bercakap.

2 jam berlalu.

Akhirnya Syahrin kembali bersandar ke kerusinya.

"Malik, boleh aku tanya kau something?".
"Apa dia? Tanyalah, macam tak biasa pulak!", kataku.

"Dah berapa lama ayah kau meninggal?". Aku terdiam. Benakku cuba mengingatkan kembali tarikh arwah abah dijemput ajalnya. "Ermm..adalah dekat-dekat nak setahun lebih. Setahun 3 bulan. Kalau tak silap aku lah".

"Bila pulak kau mula perasan pasal orang tua yang lalu depan rumah kau?". Syahrin mengangkat keningnya.

"Aku rasa-rasa lah, ada lah dekat-dekat 3 bulan lepas. Kenapa? Apa kaitan arwah ayah aku dengan orang tua tu?", aku mula resah. Kronik sangatkah sakit jiwa aku ini?

"Malik, aku rasa kau rindukan arwah ayah kau. Aku tahu kau memang kamceng dengan arwah. Betul tak?" tanya dia lagi. Aku cuma mengangguk saja. "Kau rindukan dia teramat sangat". Kali ini aku terkedu. Aku tunduk menekur lantai. "Betul ke Yen? Itu ke pendapat professional kau?", soalku minta kepastian. "Rasanya macam tu lah. Beginilah Lek, apa kata kau balik rumah dulu. Kau jangan buat apa-apa cuma rehat ajer. Ok?", tanya Syahrin. Aku anggukkan saja.

"Hmmm..thanks beb! Aku harap aku tak menyusahkan kau", jelasku.
"Relaks ah, kita member dah lama. Dah wajib member dengar problem member, ok?", Syahrin menepuk-nepuk bahu aku. "Dah lah, kau balik dulu, ok? Dalam pada tu, cuba-cuba kau banyak-banyakkan sedekah Al Fatihah pada arwah ayah kau. Aku bukan apa, aku sebenarnya rasa kau ada simpan sesuatu and kau tak nak mengaku. Especially pada arwah ayah kau," jelas doktor muda itu. Aku cuma tersenyum. Senyum kambing.

"Okaylah, saya ikut cakap tuan doktor, ok? Kena bayar apa-apa tak ni? Free service kan?" sindirku. Yen hanya tergelak kecil saja.

Dalam sepanjang perjalanan aku pulang ke rumah, banyak kata-kata Syahrin menerjah masuk ke dalam fikiran aku. Tiba-tiba hatiku sebak. Pelupuk mata aku mula basah dengan air mata. Aku berhentikan kereta di tepi jalan. Sebak di dada makin menjadi-jadi. Air mata aku mula menderu-deru tumpah. Dah lama aku tak menangis begini. Tak selepas abah pulang dijemput Tuhan. Pada hari kematian ayahku, aku diam sekali. Tidak setitik pun air mata aku tumpah sedang Alin isteriku tersedu-sedu menahan kesedihannya. Aku satu-satunya anak jantan abah, anak lelaki harapannya. Pesan arwah padaku, "Kau jangan sekali-kali tumpahkan air mata. Kita orang jantan jangan cepat menangis. Faham?". Itulah pesannya waktu aku belajar di rantau orang, berseorangan dan hampir putus asa dengan permasalahan kehidupan di negara orang. Pesan itulah yang jadikan aku manusia kedekut air mata biar apa musibah melanda sekali pun.

"Abah, Malek rindu abah...Malek rindu nak bual dengan abah. Malek rindu nak temankan abah di kebun. Malek rindu nak ikut abah naik motor sama-sama ke surau," rintih aku sendirian dalam kereta. Sedikit demi sedikit ingatanku pada orang tua yang sering lewat depan rumahku menjelma di pandanganku. Sedikit demi sedikit wajahnya menyerupai arwah abah. Dan dia tersenyum padaku.

Hari ini air mata aku berderai. Jatuh berguguran segala kesedihan yang terkumpul lama di dada. Lama aku tersedu-sedan di dalam kereta. Aku segera hidupkan enjin kereta. "Abah, Malek nak lawat abah sekarang. Malek nak jumpa abah sekarang," bisik aku perlahan. Dadaku masih terasa berat. Perlahan-lahan aku memandu kereta ke jalan semula dan menuju ke destinasi seterusnya. Kubur arwah abah.

** Disclaimer **
Cerita ni takde kena mengena dengan yang hidup mahu pun yang mati. Aku buat cerita ni sebab aku bosan maut malam hujung minggu ni.

No comments: