Saturday, March 20, 2004

Syurga, Neraka dan Pilihanraya
by Hishamuddin Rais, kolumni tetap MalaysiaKini.com
5:25pm Fri Mar 19th, 2004

Pilihanraya akan berlangsung. Saya tidak perlu menjadi nujum untuk meramalkan keputusannya. Malah pilihanraya pada tahun 2008 juga saya telah tahu keputusannya. Semuanya hampeh. Setiap kali rakyat membuat ombak perubahan setiap kali pula Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mewartakan pelbagai undang-undang baru.

Apabila bola sampai dihadapan pintu gol Barisan Nasional (BN), SPR kalau tidak meniupkan wisel akan mengubah kedudukan pintu gol. SPR dengan pelbagai hukum hakamnya akan memastikan tendangan gol dari Barisan Alternatif (BA) terpelencong gagal. Kerana hakikat ini sampai hari kiamat pun rakyat tidak mungkin dapat melakukan apa-apa jaringan gol.

Kerana itu saya tidak pernah mendaftar diri dan tidak pernah mengundi. Saya tidak percaya/yakin bahawa pilihanraya di Malaysia ini demokratik, telus dan bersih. Saya memastikan diri saya bebas dari dipergula-gulakan dan dibodoh-bodohkan. Saya tidak mahu menaburkan harapan kepada orang ramai bahawa masa depan mereka hanya bergantung pada pilihanraya.

Cuba bayangkan ceramah pihak pembangkang/Barisan Alternatif yang berdegar-degar. Ribuan pendengar datang dengan penuh harapan - harapan untuk melakukan satu perubahan. Tiba-tiba semuanya pancet. Mereka yang membawa harapan akan terduduk/terkapai-kapai. Ini macam bercumbu/bercanda tak pernah sampai ke pancutan akhir. Dua tiga kali becumbu tanpa pancutan mungkin boleh disanggupi.. Tetapi kalau sudah sebelas kali satu pancutan pun tidak sampai-sampai, air akan masuk naik ke kepala.

Inilah hakikat demokrasi ditanah air kita ini. Falsafah/nilai/ajaran demokrasi itu tidak salah. Apa yang wajib dipersalahkan ialah manusia-manusia yang menterjemhakan demokrasi itu. Kecetekan fikrah/pemahaman ini bukan kerana rakyat di Malaysia ini tidak ingin menghayati/mengamal demokrasi. Rakyat/orang ramai sedar bahawa hanya demokrasi sajalah yang dapat menjamin masa depan mereka.

Apa sebenarnya pilihanraya? Piliharaya adalah satu proses dimana wakil-wakil untuk orang ramai dilantik melalui pembuangan undi. Siapa yang mendapat undi terbanyak akan berjaya dipilih untuk mewakili orang ramai/rakyat. Ini adalah asas utama demokrasi.

Projek syurga

Disebalik asas pemilihan perwakilaan ini ialah kuasa. Sesiapa yang memilih kuasa ini akan berupaya untuk mengendalikan arah tuju negara ini. Dalam kes pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, kuasa yang mereka miliki telah dengan pandi/licik/bijak disalahgunakan. Penyalahgunaan kuasa inilah yang menjadikan pilihanraya kita hari ini bagitu bebal/lembik sekali.

Pedebatan yang serius untuk mengolah persetujan rakyat langsung tidak timbul. Semua ruang demokrasi yang seharusnya wujud agar debat/perbincangan dapat dijalankan telah dilupuskan. Maka hasilnya ialah kemerosotan dan pembonsain fikrah kita sendiri sebagai rakyat.

Justeru rakyat dibawa naik 'borak' ke alam esoterik untuk melayari syurga dan neraka, walhal agenda/projek sosial yang wajib didebatkan dan dihadapkan kepada orang ramai ialah projek kehidupan harian. Politik dan pilihanraya adalah mengenai dunia kehidupan harian kita. Dalam masa yang sama tidak menjadi satu kesalahan undang-undang untuk sesiapa pun membincangkan projek syurga dan neraka; semasa pilihanraya atau sebelum pilihanraya..

Apa yang salah pada hemat saya ialah projek syurga dan neraka ini kelihatan menjadi lawak. Lawak ini muncul apabila tidak wujudnya ruang demokrasi untuk mendebatkan intipati agenda projek syurga/neraka ini. Tekanan dan penutupan ruang demokrasi dalam usaha untuk memastikan BN terus berkuasa adalah punca utama yang memunculkan kecetekan pemahaman orang ramai/bakal pengundi tentang agenda projek syurga/ neraka.

Konsep/falsafah agenda syurga dan neraka ini bukan hanya dimilki oleh mereka yang beragama Islama sahaja. Penganut agama Yahudi/Kristian/Hindu/Buddha juga memiliki dasar/falsafah/metapora ini. Konsep/falsafah/ajaran berbuat baik dibalas baik- berbuat jahat di balas jahat tidak dimonopoli oleh satu-satu agama.

Konsep ini dimiliki oleh manusia sejagat. Konsep/metapora syurga/neraka menjadi kepercayaan asas untuk semua agama. Tidak ada agama/idealogi/falsafah dalam betuk apa pun didalam dunia yang mengasaskan perjuangan mereka diatas landasan kekufuran dan kebatilan.

Agenda nasional

Dalam usaha untuk mengekalkan kuasa pihak yang memerintah maka perdebatan/perbincangan/pengolahan terbuka tentang projek-projek sosial yang dihadapi oleh bakal pengundi tidak dapat dimunculkan. Hasilnya agenda projek syurga/neraka dilihat begitu hambar olahannya.

Pada hemat saya syurga/neraka ini ada berkaitan dengan dua projek sosial asas yang berakar umbi dibumi yang nyata. Pertama projek Rasuah. Kedua Projek Penyalahgunaan Kuasa. Projek sosial inilah yang wajib dimuncul/dibincang/didebat secara meluas oleh bakal wakil rakyat dengan bakal pengundi. Pengolahan persetujuan tentang projek inilah yang seharusnya dijadikan manifesto umum untuk mendapat pesetujuan orang ramai/bakal pengundi.

Barisan Nasional telah dibuktikan dan sedang membuktikan dengan bijak bagaimana parti mereka bertapak sebagai pendukung/pengembang projek Rasuah dan projek Penyalahgunaan Kuasa. Manakala Barisan Alternatif pula cuba ingin dilihat sebagai penentang/pelupus kedua-dua projek sosial ini. Kedua-dua projek sosial inilah yang harus dijadikan agenda nasional untuk pilihanraya tahun 2004.

Inilah agenda yang wajib didebatkan kepada orang ramai. Orang ramai/bakal pengundi sedang berhadapan dengan dua projek sosial yang berhegemoni dalam kehidupan di dunia harian mereka. Projek ini wajib dibincang/diolah secara terbuka agar orang ramai/bakal pengundi dapat membuat pilihan yang bijak.

Untuk saya, SPR harus menerima hakikat bahawa bukan satu kesalahah akta pilihanraya jika Barisan Nasional mengajukan projek Rasuh dan projek Penyalahgunaan Kuasa kepada rakyat. Ini adalah asas perjuangn parti mereka. Tidak juga menjadi kesalahan yang akan membatalkan calon Barisan Alternatif, jika mereka cuba berhujah menentang dua projek sosial ini.

Parti-parti politik dari barisan apa pun seharusnya dapat mengolah hujah-hujah mereka untuk menerangkan kepada orang ramai/bakal pengundi apakah sebenarnya intipati agenda/falsafah dalam projek Rasuah dan projek Penyalahgunaan Kuasa. Ini penting sebelum bakal pengundi membuat pilihan.

Untuk Barisan Nasional mereka wajib menerangkan kepada rakyat tentang bagaimana projek Rasuah telah dapat membangunkan negara kita. Nikmat yang kita kecapi hari ini adalah hasil dari projek ini. BN juga wajib menerangkan bagaimana Penyalahguaan Kuasa telah dapat memastikan mereka terus berkuasa. Kuasa ini menjadi asas penting untuk mereka mengendali/memiliki punca-punca ekonomi negara ini.

Barisan Alternatif pula wajib bertungkus lumus dalam masa lapan hari ini untuk menerangkan kepada bakal pengundi kenapa mereka menentang dua projek sosial ini. Parti PAS , terutamanya, wajib dapat mengolah bagaimana orang ramai/bakal pengundi yang menentang projek Rasuh dan menentang projek Penyalahgunaan Kuasa ini akan mendapat ganjaran syurga.

Jika ini berlaku, pilihanraya tahun 2004 akan menjadi meriah tidak lembik dan bebal. Tetapi semua ini tidak berlaku. Inilah yang menjadikan saya yakin untuk terus tidak mendaftar dan tidak mengundi.

Ruang yang sempit

Pengamatan fikrah saya menyatakan bahawa dua projek sosial ini cukup penting. Dua projek inilah yang menjadi asas garis tamadun masa depan bangsa Malaysia. Jika ianya tidak dibincangkan secara meluas/terbuka maka besar kemungkinan pilihanraya tahun 2004 ini hanyalah satu proses yang tidak demokratik. Pilihanraya ini memperlihatkan kemelesetan fikrah bakal wakil rakyat. Sama seperti Pak Pandir menipu Lebai Malang. S Jebing cuba memandu Stevie Wonder.

Selagi dua projek sosial ini tidak dapat difahami secara mendalam oleh para pengundi selagi itulah agenda ' ingin' ke syurga menjadi kabur. Untuk saya syurga/neraka ini hanya akan wujud apabila dua projek ini dapat dibincangkan. Kita sebagai rakyat tidak harus takut tentang syurga/neraka. Jika kita takut kepada konsep syurga dan konsep neraka maka bererti kita tidak memahami konsep jahat/baik, adil/zalim.

Pada hari Isnin depan saya yakin tidak banyak perubahan akan terjadi. Mereka yang telah berkempen dan menang akan tersenyum puas. Mereka yang berkempen kalah akan merasa keletihan setahun terkumpul sehari. Agenda projek Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa akan dimenangi oleh Barisan Nasional.

Hukum-hakam dan syarat pilihanraya yang diajukan oleh SPR telah memastikan bahawa projek syurga/neraka dari Barisan Alternatif terbengkalai sekali lagi. Orang ramai akan terus merungut. Cerita yang sama terus berulang lagi hingga ke tahun 2008 dimana pada tahun itu satu lagi pilihanraya akan diadakan.

Saya tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak yang telah kalah. Untuk saya, apa yang pasti berlaku selepas ini ialah bil talipon akan terus meningkat, bil sewa bilik akan naik, bil air akan naik lagi, nilai runggit semakin merosot, jalanraya semakin sesak, udara semakin cemar , rompak, bunuh, curi, rogol, rasuah, tipu menipu akan berterusan dan akhbar harian semakin merosot fikirannya.

Besar kemungkinan SPR akan meluluskan satu undang-undang baru bahawa semasa pilihanraya dimasa hadapan hanya ceramah politik sahaja yang akan dibenarkan. Teater jalanan, bentuk seni baru yang saya perkenalkan di Malaysia akan dianggap salah. Mungkin juga akan diaktakan bahawa hanya individu yang berparti sahaja yang boleh menyuarakan pandangan politik semasa kempen di pilihanraya. Mereka yang tidak berparti tidak akan dibenarkan. Ruang untuk saya bergerak sebagai insan bebas semakin sempit, peluang mencari makan semakin kurang.

Jika semua ini bukan neraka namanya berikanlah ianya satu nama yang baru. Berdarah otak untuk mencari istilahnya.

*****************************************
Siapa Hishamuddin Rais?

HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.


Komen Alang:

Aku selalu tertarik dengan hasil tulisan dia. Hishamuddin Rais adalah produk kebangkitan golongan pelajar era 70an bersama-sama Saudara Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Ustaz Fadzil Noor (aku rindukan pada aura kehadiran arwah Ustaz Fadzil) dan ramai lagi. Tapi menurut Ustaz Hashim yang sama-sama terlibat dengan tunjuk perasaan Baling pada sekitar tahun 70an, Hishamuddin Rais ni manusia yang radikal tapi pengecut sebab dia lari dari Malaysia untuk mengelakkan diri dari dikenakan tindakan undang-undang. Berbeda dengan Saudara Anwar dan rakan-rakannya yang lain, mereka berani menerima hukuman dan mempelajari dari pengalaman itu.
Tapi sekarang selepas pulang dari pelariannya, Hishamuddin Rais dikatakan telah banyak berubah dari cara pendekatannya terhadap satu-satu isu dan lebih berani menghadapi akibat langsung darinya.
Gaya penulisan beliau yang sungguh spontan dan kasual dalam laras bahasa banyak menyumbangkan idea-idea yang radikal tapi praktikal. Cumanya ia perlu diteliti dan diperbaiki dari sudut pemahaman sosial masyarakat M'sia yang masih lagi berpegang teguh pada nilai-nilai tradisional dan ketimuran.

No comments: