Siri 1: Pilihanraya, Kestabilan Politik & Kesejahteraan Negara
Pilihanraya akan kembali lagi. Pusingan amalan demokrasi ini akan kembali ke titik asal sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Tarikh tetap pilihanraya pada ketika artikel ini ditulis masih lagi belum diputuskan secara muktamad oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Namun yang demikian, umum menjangkakan tarikh pilihanraya akan berlegar sekitar penghujung bulan Mac nanti.
Pada ketika ini ramai ahli politik mula rancak untuk turun padang berjumpa dengan golongan akar umbi masing-masing dalam usaha untuk meraih undi. Fenomena ini seakan sudah menjadi satu gaya hidup bagi rakyat pada setiap 5 tahun sekali untuk melihat wakil rakyat yang mewakili mereka tampil kembali setelah sekian lama tidak bersua muka. Masing-masing mempersembahkan manifesto tajaan parti masing-masing untuk dicanangkan kepada rakyat akan segala kelebihannya berbanding manifesto parti lawan. Namun kini, rakyat telah menjadi semakin bijak dalam menilai isi dan kandungan manifesto baik dari pihak parti pemerintah mahu pun dari parti pembangkang. Rakyat juga sudah semakin arif dalam menilai tiap gerak langkah politik golongan politikus semasa.
10 Ikrar Barisan Alternatif
Hak Anda - kami jaga
Kehidupan Anda - kami tingkatkan
Keselamatan Anda - kami pastikan
Kerajaan Anda - kami perkuatkan
Pendidikan Anda - kami sediakan
Kesihatan Anda - kami jagai
Perniagaan Anda - kami bantu
Agama Anda - kami hormati
Persekitaran Anda - kami pelihara
Masa Depan Anda - bersama dengan Malaysia baru
10 Manifesto yang dilancarkan oleh Barisan Alternatif yang terdiri daripada gabungan parti-parti pembangkang Keadilan, Parti Islam Semalaysia dan lain-lain lagi kecuali Democratic Action secara dasarnya banyak berkisar kepada konsep kesederhanaan, ihsan dan keadilan sejagat. Hal ini amat berbeda dengan manifesto yang ditaja oleh Barisan Nasional yang banyak memainkan isu lama, isu kemajuan ekonomi negara, isu kemewahan industri negara. Hal ini jelas menunjukkan Barisan Nasional banyak menumpukan kemajuan hanya dari sudut material dan fizikal berbanding dengan Barisan Alternatif yang cuba mengimbangkan antara kemajuan intelek, sahsiah dan peningkatan ekonomi negara dengan pengagihan kek ekonomi yang sama rata kepada seluruh rakyat.
Pilihanraya kali ini juga dilihat sebagai kayu pengukur kebolehan kepimpinan Dato Seri Abdullah Badawi selaku Perdana Menteri yang baru. Era pemerintahannya tidak dapat lagi dijadikan sebagai rekod rasmi kerana beliau hanya mewarisi kerusi panas kepimpinan dari Tun Dr. Mahathir Mohamed. Justeru pilihanraya ini amat penting baginya dan juga bersifat peribadi bagi membuktikan dirinya juga setanding dengan kepemimpinan Tun Dr. Mahathir. Seterusnya ini akan membolehkan beliau untuk memenangi kepercayaan ahli-ahli UMNO. Sloga-slogan yang dimainkan oleh beliau antaranya, "Marilah bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya"m, dipercayai banyak mempengaruhi tanggapan orang ramai terhadap sikapnya selaku ketua dan pemimpin berbanding Perdana Menteri sebelumnya. Begitu juga dengan jemputan beliau kepada rakyat untuk bersama-sama dengannya untuk membanteras isu rasuah dalam negara. Ini juga dijadikan satu seni memujuk untuk rakyat melupai apa yang kerajaan telah lakukan kepada mereka khususnya dari sudut penindasan hak-hak asasi rakyat, korupsi negara dan juga barisan pimpinan yang tidak membelai rakyat.
No comments:
Post a Comment