Langit biru langit merah
Ahh..cantiknya hari ni. Langit biru tak berawan. Cuaca pun agak panas walaupun angin sejuk tetap bertiup. Sesekali aku menggigil juga sebab hawa yang sejuk tak dapat ditewaskan oleh sinaran matahari Amerika Utara. Aku sangat-sangat menyenangi keadaan begini sebabnya terlalu lama depressed dengan kurangnya cahaya matahari dan sejuknya hawa musim sejuk.
Sayangnya perasaan macam tu tak kekal lama. Rupa-rupanya langit di timur tengah tercemar warna birunya dengan warna merah darah. Hati kembali tersentuh bila baca New York Times, laporan berita tentang seorang alim ulama cum jihadist, mati dibunuh oleh Israel apabila beliau pulang dari solat subuhnya di masjid (errkkk..dia pergi masjid tu untuk solat subuh, sedangkan antara kita masih lagi terbongkang di katil enak menarik selimut kulit babi). Sheikh Ahmed Yassin yang dilahirkan sekitar tahun 1930an menjadi salah seorang pengasas Hamas pada awal tahun 1980an. Beliau dikatakan berjaya menyatukan rakyat Palestin menerusi Hamas berjuang untuk membebaskan Palestin dari dirampas Israel sedang negara-negara Arab berhampiran hanya beromong-omong kosong tentang status Palestin setiap kali berhimpunnya ketua-ketua negara di konvensyen Liga Arab.
Kematian As syahid Sheikh Ahmed Yassin telah membangkitkan perasaan marah umat Islam seluruh dunia. Beliau yang dianggap sebagai pejuang sejati memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin sangat-sangat dihormati baik di rantau Timur Tengah mahu pun di kalangan negara-negara Islam.
Nabi kata, salah satu tanda akhir zaman ialah apabila banyak ilmu hilang dari mukabumi apabila Allah panggil menjemput ulama-ulama kembali bertemuNya. Di sini kita lihat salah satu tanda-tandanya. Kematiannya ditangisi oleh berjuta-juta umat Islam seluruh dunia.
Kematiannya mengingatkan aku kembali pada seseorang yang telah lama kembali ke rahmatullah.
Malaysia juga telah hilang salah seorang ulamanya pada 2002, Ustaz Fadzil Noor, yang kematiannya ditangisi oleh ratusan ribu rakyat Malaysia (hampir 300,000 rakyat malaysia hadir melawat jenazahnya). Solat jenazahnya didirikan sebanyak 6 kali dan setiap kali solat jenazahnya, hampir 6 ribu manusia menjadi makmumnya. Itu belum termasuk solat jenazah ghaib yang dilakukan di banyak tempat bagi sesiapa yang tak berkesempatan menziarahi jenazahnya di Kedah. Beliau disemadikan di tanah perkuburan tidak jauh dari madrasah Muassasah Darul Ulum yang didirikannya dengan perbelanjaan sendiri. Beza kematiannya dan kematian Sheikh Ahmed Yassin ialah cara kematian masing-masing. Seorang pulang pada rahmat Allah kerana sakitnya dan seorang lagi pulang menghadap Allah Rabbul Alamin kerana dibedil peluru Israel. Tapi mereka sama-sama berjuang untuk kehormatan agama masing-masing.
Jika hati kita masih lagi beku dan kaku, masih lagi tidak berasa apa, sayu atau pun hiba atas kehilangan orang-orang yang rapat dengan perjuangan agama - eloklah juga kita bertanya hari ini, apakah kita juga 'saudara' kepada mereka? Kata nabi dulu pada sahabat-sahabatnya, orang islam seperti satu badan, kalau ada anggota lain tercedera maka seluruh badan akan terasa sakitnya.
Adakah kita terasa sakitnya hari ini?
No comments:
Post a Comment