Monday, July 30, 2007

Pantun Lama

Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba serahkan.

Berapa ramai di antara kita merasakan pantun ni untuk dua orang bercinta? Aku pun ingat pantun ni sebenarnya untuk orang yang tengah tangkap cintan time dulu-dulu.

I was dead wrong.

Pantun ni sebenarnya datang dari semangat solidariti ukhuwwah Islam yang ada di rantau Nusantara. Aku dapat tahu ni ketika aku mendengar ceramah daripada Dr Hafizi Mohd Noor, seorang pensyarah dari UPM yang bergiat langsung dengan kajian sejarah perkembangan Islam di rantau Nusantara.

Maksud "Kalau roboh Kota Melaka" menceritakan tentang jatuhnya tamadun Islam di Melaka dan bagaimana ummah Islam menyerahkan panji-panji Islam itu kepada kerajaan Demak di pulau Jawa. Alfonso D'Albuqurque pada ketika itu telah membuat pakatan dengan kerajaan Siam dan juga kerajaan di Jawa dalam pakatan menawan Kota Melaka. Namun Wali Songo bersama pengikut-pengikutnya berjaya menyerang kerajaan yang berpusat di Jayakarta, pulau Jawa untuk tujuan melemahkan pakatan tersebut. Seterusnya mereka membuka semula kota tersebut dan dinamakan Jayakarta sempena mengambil semangat pembukaan semula kota Mekah (Peristiwa Fathu Makkah, ada diceritakan di dalam Al Quran). Demikianlah yang dimaksudkan dengan "Papan di Jawa hamba dirikan".

Andai tamadun Islam di Melaka itu tergugat dan musnah, nescaya ummah Islam di Jawa akan bangkit dan menggantikannya.

Selepas itu kerajaan Islam Demak melancarkan jihad besar-besaran ke atas Portugis untuk membebaskan saudara-saudara seagama di Melaka. Perang ini mengambil tempat di Muar, Johor. 6,000 syahid gugur di situ. Perang tersebut melemahkan kekuasaan Portugis di Selat Melaka. Pada masa yang sama, kerajaan Islam Acheh bangkit di bawah pimpinan Sultan Iskandar dan juga Sultan Iskandar At Thani. Mereka menyambung perjuangan kerajaan Islam Demak dengan melancarkan peperangan di laut yang diketuai oleh Panglima Tentera Laut, Panglima Kemala Hayati. Beliau ialah satu-satunya panglima muslimah yang pertama pada ketika itu. Kubu 'Inong Balee', ialah kota pertahanan yang didirikan oleh balu-balu para syahid untuk menentang penjajahan barat ke atas tamadun Islam di rantau Nusantara.

Memang tak dapat dinafikan ada perasaan terharu bila aku dengarkan kisah-kisah ini. Ternyata, kisah-kisah ini tidak akan dapat dipelajari di kelas-kelas mahu pun di dalam buku teks. Memang betul kata Dr Hafidzi, sejarah perlu diambil iktibar secara menyeluruh, dan bukan diagih-agihkan mengikut tempat dan lokasi.

Kalau kita tengok pada senario perpaduan umat Islam ketika ini, memang boleh dikatakan pada tahap hampeh dan sayur sekali. Saudara seagama di Palestin diinjak-injakkan tapi kita buat dak ajer. Kita lebih suka bermain kata dengan kerajaan Barat, akur pada perintah Israel dan juga dilembu-lembukan oleh Amerika Syarikat.

Kesian sungguh kita, nasib orang Islam sekarang ni.

No comments: