Pengemis Itu
Mohd Farid Mohd Nor, 16 Oktober 2005
Ampang, Selangor.
Dari hari demi hari, kaki melangkah sepi
Mencari satu makna kenyang sehari
Mencari satu peluang untuk hidup lagi
Berlawanan dengan terik mentari
Bercakaran dia dengan debu kota
Tapi langkah tetap langkah
Kerana setiap langkah bererti
Setapak lagi jauh dari makna mati hakiki
Padahal sudah diketahuinya
Dia tidak punya peluang untuk mengira
Detik masa yang tinggal untuk dia
Kerana dia seorang pengemis dunia
Yang tidak punya apa untuk diniaga
Melainkan kedutan di pipi dan seraknya suara
Yang hanya mengundang cemuhan orang
Jauh menusuk ke hati tua seorang gelandangan
Hari ini dia berhenti melangkah
Takut nanti dihempap angkasa kota
Takut dilanggar lori penguasa bandaraya
Lebih-lebih lagi, dihambat rasa takbur penghuni kota
Hari ini dia berhenti menadah tangannya
Kerana lemahnya tangan mengangkat
Sakitnya kaki melangkah
Terlantar dia terlentang di sudut kota
Bersama sampah sarap bersepahan di sisinya
Mahu dicium buat kali terakhir hayatnya
Sebelum dia dijemput tuhan
Pudar cahaya matanya mengenangkan hayat dunia
Menanti ihsan manusia, mengharap kasih Tuhannya
Tapi kini penantiannya hampir berakhir
Bila tubuh tua tak mampu menyokong jiwa
Jiwa lara, jiwa sengsara, jiwa pengemis dunia
Dia hembuskan nafasnya terakhir
Di celah ribuan manusia yang mundar mandir
Tanpa menyedari kehadirannya
Lantaran murahnya jiwa yang dikendong
Kerana tiada harga di pasaran kotaraya
Di matanya bertakung air jernih sepi
Tanda perginya dia berjumpa Ilahi
Tanda sayunya dia meninggalkan dunia ini.
No comments:
Post a Comment