Friday, September 17, 2004

"Ayah cikgu pesan dulu...."

Kata Cikgu Aini Farin sewaktu aku ziarah ke rumah dia di Pandan Indah bila pulang ke M'sia 3 tahun dulu, "Ayah cikgu pesan pada anak-anak dia, jangan sekali-kali ambil rasuah atau pun beri rasuah. Biarlah cikgu fail driving test banyak kali, janji cikgu tak bagi rasuah". Itulah kata Cikgu Aini Farin pada aku.

Kata-kata dia aku semat dalam hati aku. Biar hidup miskin melarat, jangan ambil rasuah, jangan beri rasuah.

Bila tengok balik suasana di negara, rasuah ada di mana-mana dan wujud dalam banyak bentuk. Baik di kampung-kampung, baik di kampus-kampus, baik di jabatan-jabatan kerajaan. Ramai yang mengaitkan rasuah hanya dalam bentuk wang. Tapi sebenarnya rasuah ni boleh wujud dalam banyak bentuk selagi ianya memberi kesenangan kepada kita dan kita juga berada dalam situasi yang punya kepentingan dan juga mempengaruhi keputusan sesuatu urusan. Impaknya, rasuah menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Dulu Ucu kata pada aku, "Kalau Ayed jadi menteri nanti, senanglah sikit Ucu nak mintak tanah ek? Gerenti boleh dapat punyalah!". Aku jawap senang ajer, "Ucu boleh mintak tanah, tapi dengan syarat Ucu hantar sendiri borang permohonan tanah di jabatan tanah. Ayed tak ada kuasa dan tak punya kuasa nak beri tanah sesuka hati, tak kira pada sapa-sapa ajer".

Hati-hati bila kita pegang kuasa. Hati-hati bila kita pegang amanah. Upah/gaji/elaun yang diberi, itu yang halal. Bukannya duit kopi kerana beri bukan hak kita. Cikgu Aini Farin kata, "Ayah cikgu kata duit rasuah ni tak berkat, sampai bila-bila pun".

Aku cuma angguk-anggukkan kepala sambil dengar dia bercerita. Dalam masa yang sama, mulut aku tetap melantak mee kari yang cikgu masakkan untuk aku. Hehehehe...pesan cikgu ingat juga, mee kari cikgu pun ingat juga.

No comments: