Malaysia telah digegarkan dengan berita hangat. Lebih hangat dari Akademi Fantasia 2. Lebih meriah daripada Konsert Sure Heboh dan lebih meletup dari Konsert Fantasia.
Anwar sudah bebas! Anwar kembali ke pangkuan keluarga!
Begitulah bait-bait ayat yang terpampang di suratkhabar keesokan harinya. Dan begitulah juga bisik-bisik rakyat biasa di kedai-kedai kopi, di ruang-ruang chat siber dan juga di tepi-tepi jalan. Tidak kurang juga ramail yang mengirimkan berita ini menerusi email. Sesetengah rakyat akan tersenyum, sesetengah pula akan berwajah cuka. Namun ada pula yang tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku. Dunia tetap berputar, biarpun seribu Anwar dibebaskan atau pun dipenjarakan.
Pembebasan Anwar ini jelas menunjukkan kesabaran dan tawakkal kepada tuhan pasti akan membuahkan hasil. Gesaan demi gesaan yang dibuat oleh rakyat yang prihatin dengan nasib Saudara Anwar Ibrahim telah pun didengari oleh barisan pimpinan negara. Suara rakyat mula masuk menembusi tahi telinga para pemimpin kita. Dada mereka telah sesak diasak oleh seruan-seruan islah. Tapi apakah dengan bebasnya Anwar, maka harus kita letakkan titik noktah gerakan islah ini?
Sama sekali tidak.
Anwar hanyalah sebuah ikon sosial. Beliau melambangkan hasrat hati rakyat secara majoriti. Rakyat kelas pertengahan dan bawahan. Hasrat rakyat yang terpendam dan disorokkan oleh media arus perdana negara tidak dapat dikekang lagi. Hasrat rakyat yang ditekan, yang disisihkan dari sidang jemaah kabinet dan yang ditekan oleh warga korporat elit akan membuak-buak lagi. Sepertimana keputusan pilihanraya 1999 yang mengejutkan parti pemerintah, begitulah juga akibatnya sekiranya mereka terus mempermainkan mandat rakyat. Dan bagi rakyat pula, mereka harus mengerti, bebasnya Anwar hari ini menandakan kita boleh bergerak ke hadapan lagi. Bukannya bebasnya Anwar kembali ke Bukit Damansara, akan menamatkan riwayat gelora perubahan rencana politik negara.
Mahu atau tidak, ramai akan mempersoalkan gerak hala politik Saudara Anwar. Samada beliau akan kembali kepada UMNO, atau pun terus bersama Keadilan, atau sinonimnya Barisan Alternatif, segalanya akan terjawap apabila beliau selesai menjalani pembedahan tulang belakangnya di Jerman. Bagi aku, mungkin kurang wajar kita mengura-urakan situasi yang begini kerana dia sendiri masih lagi terkial-kial menahan kesan kesakitan akibat diserang oleh bekas Ketua Polis Negara pada tahun 1998 dulu. Tapi jangan kita endahkan sangat tentang dirinya.
Harus diingatkan, jangan kita gantung harapan pada Anwar Ibrahim seorang. Dia juga manusia biasa. Dia juga akan melakukan kesilapan. Dia juga boleh tewas pada godaan nafsu kuasa dan kebendaan. Apa yang kita perlukan lakukan sekarang ialah menegur dan menegah kiranya dia lalai. Dia just seorang ahli politik dan semestinya sebagai seorang ahli politik, apa saja akan dipergunakan untuk memperolehi 'political momentum'. Dan aku percaya, sekiranya dia mengkhianati suara hati rakyat, segala keturunannya akan dimaki hamun dan dicerca hingga ke akhir zaman oleh seluruh rakyat Malaysia yang bersatu membebaskan dia.
Dalam keadaan begini juga, rakyat tidak harus alpa. Rakyat mesti perkemaskan saf perjuangan. Rakyat mesti sedia menghisab diri sambil merencanakan agenda seterusnya. Strategi yang ampuh mesti dikaji dan diteliti bagi memastikan segala gerak kerja tersusun and teratur. Tanamkan semangat yang tinggi pada mereka yang menyertai saf ini. Ketua-ketua yang dipilih mestilah pula terdiri daripada mereka yang punyai semangat merdeka yang tinggi. Mereka yang faham maksud perjuangan. Mereka yang sanggup berkorban dan terkorban dalam merealisasikan cita-cita rakyat. Seperti mana Tunku Abdul Rahman yang rela keluar dari istana dan menyertai perjuangan rakyat untuk mencapai kemerdekaan, begitu juga tokoh-tokoh pemimpin yang harus ada bersama rakyat. Seperti mana pesan Saudara Anwar kepada aku sendiri menerusi suratnya, "Kita perlu tingkatkan usaha dan ikhtiar. Saudara perlu membuat persiapan sebaiknya - keputusan akademik cemerlang, peribadi luhur, semangat kental, insya Allah", langkah itulah yang sebaiknya bagi rakyat untuk mengharungi jalan yang pastinya akan berliku-liku pada masa hadapan.
Dalam pada kita berdegar-degar menjerit-jerit laungan Reformasi seperti orang sasau gamaknya, jangan kita lupa pada rakan-rakan di sektor pertanian, jangan kita lupakan kemajuan pakcik-makcik di kampung-kampung, jangan kita sisihkan teman-teman bergaji rendah dan jangan sekali-kali kita senda-sendakan sahabat-sahabat di institusi pengajian tinggi. Kembalikan hak mereka. Pulangkan hak mereka. Jangan kita lupa pulak pesanan orang putih, "Action speaks louder than words".
Gema reformasi kembali kedengaran di ruang udara Malaysia. Tapi setakat manakah bisingnya? Apakah hanya membingitkan telinga? Atau pun satu irama yang menjanjikan arus perubahan pada roh demokrasi di negara?
Untuk mengubah corak pemikiran rakyat, ternyata usaha ini usaha yang amat sukar di negara Bolehland. Segenap ruang pendidikan yang menggesa rakyat berfikiran satu hala telah pun dikuasai oleh parti memerintah. Jentera kerajaan juga telah dipergunakan untuk mencapai matlamat ini. Jadi apa tinggal pada rakyat? Kertas undi. Kertas undi yang masih tinggal pada rakyat. Kertas undi yang mampu mengubah corak pemerintahan negara.
Fahaman khurafat hanya BN yang mampu memerintah negara dengan sejahtera mestilah dihapuskan. Fahaman khurafat hanya UMNO saja membela nasib Melayu mestilah dimansuhkan kalau tidak diperangi secara habis-habisan. Selagi amalan politik yang bangkrap masih diamalkan oleh UMNO, selagi itu rakyat akan terus dimangsakan. Selagi para menteri yang korup budaya, yang korup ilmu politik dan yang bangkrap idea memerintah dan mentadbir negara, selagi itulah rakyat menjadi hamba di tanahair sendiri.
Rakyat harus berani. Rakyat mesti berani. Rakyat bukan bodoh, apatah lagi bebal dalam merenung masa depan negara. Rakyat mesti "berani berubah", seperti slogan kereta nasional negara, Gen-2. Seorang pensyarah di UiTM pernah menasihatkan aku, "Kamu mesti jadi agen informasi". Maksudnya, kita sampaikan maklumat yang betul. Kita mesti merubah diri dari terus diperalatkan oleh media tajaan kerajaan dengan mencari sumber-sumber berita yang lebih sahih. Selalu pertikaikan berita-berita yang diragui kemunasabahannya lebih-lebih lagi perkara-perkara yang menjejaskan sosial dan ekonomi rakyat. Dengan informasi yang betul, barulah gerakan reformasi menjadi lebih bermakna. Jangan kita seperti tong kosong, bunyinya kuat tapi isinya kosong.
Masa terus laju meninggalkan kita, dan para pemimpin kita hanya akan menjadi tua. Manfaatkan mereka. Tegurlah mereka. Hukumlah mereka, sekiranya mereka mengkhianati amanah rakyat kepada mereka. Jangan biarkan mereka terus-terusan bersultan di mata dan beraja di hati. Kekanglah kuasa mereka dengan melaksanakan tugas kita sebagai pemerhati aktif.
Ingat, orang-orang seperti Saudara Anwar akan tetap wujud dari zaman ke zaman. Semangatnya juga akan wujud dari era ke era tapi apa yang mengutuhkan lagi perjuangan mereka ialah barisan sokongan dari golongan rakyat. Mengapa negara kita merdeka? Kerana gesaan umum majoriti rakyat Tanah Melayu, baik dari kalangan Melayu, Cina mahu pun India. Mengapa negara kita bebas dari ancaman komunis? Kerana rakyat juga bersatu padu menumpaskan anggota komunis. Mengapa negara kita gagah mengharungi krisis ekonomi 1997? Kerana rakyat bersatu padu dan memberi keyakinan sepenuhnya kepada kerajaan. Dan lihat kembali apa yang kerajaan memerintah sudah lakukan kepada rakyat untuk membalasi tiap jasa rakyat kepada para pimpinannya? Rumah kos rendah dihapuskan secara perlahan-lahan, dana pelaburan rakyat dirompak di siang hari, hak-hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan diperkosa begitu saja, hak rakyat untuk memilih corak pendidikan individu dirampas dengan penutupan Sekolah Agama Rakyat, orang kaya makin kaya dan orang miskin makin melarat, kadar pengangguran makin meningkat sungguh pun media melaporkan sebaliknya, sistem kehakiman kita hilang kepercayaan rakyat, khidmat anggota polis kita dipersoalkan keberkesanannya, bahkan semakin pudar kepercayaan rakyat padanya pula.
Inilah masa kita. Inilah peluang kita. Inilah jalan yang akan kita tempuhi. Api semangat mesti disemarakkan. Semangat mesti dipupuk lagi. Saf perjuangan mesti diluruskan dan dirapat-rapatkan. Kita harus dinamik, kita harus berminda progresif untuk terus menerus memastikan Malaysia terus sejahtera. Atasilah syak prasangka sesama kaum atau pun di antara kaum. Bekerjasama eratlah sesama kelas sosio-ekonomi. Hapuskanlah jurang antara agama. Rakyat Malaysia, Bangsa Malaysia. Rakyat sejahtera, ekonomi sejahtera, sahsiah/minda/emosi sejahtera.
Moga Malaysia terus sejahtera untuk rakyat dan seluruh isinya.
No comments:
Post a Comment