Di Ambang Merdeka
"bonda senyum riang...menerima bahtera merdeka
Putera puteri sayang....putera puteri sayang,
sedang berjuang.
Fajar telah tiba dan menyinsing membawa harapan
Tanah semenanjung...tanah semenanjung
Permata nilam."
Dalam lebih kurang 8 jam dari sekarang, tanggal 31 Ogos akan menjelang. Aku yakin ramai giler orang-orang muda menantikan detik 31 Ogos samada di KLCC atau pun di Dataran Merdeka. Paling kurang menunggukan detik itu dengan kawan-kawan, atau pun mungkin bersama keluarga sambil menonton tv besar di Dataran. Mulut pun kumat kamit melaungkan 'merdeka, merdeka, merdeka!".
Istilah merdeka sekarang dilihat hanya kepada pembebasan fizikal dari penjajahan orang luar ke atas tanah semenanjung Melayu. Pengisian yang seterusnya ialah dengan pembangunan sosio-ekonomi terutama di kalangan kaum Melayu. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein memegang kerusi Perdana Menteri dengan satu matlamat - memajukan orang Melayu secara terimbang. Kemudian pada 1980, Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih kerusi PM dari Tun Hussein Onn dan beliau menjanjikan satu dimensi yang baru kepada seluruh rakyat Malaysia.
Benar, untuk tempoh 5 tahun pertama, beliau telah memberikan perkhidmata yang terbaik. Dia memperkenalkan 'punch-card' system, memperkenalkan idea PROTON, merintis jalan kepada industri besi negara dan banyak lagi. Ternyata, idea-ideanya yang berorientasikan perkembangan industri dan ekonomi berjaya membawa M'sia keluar dari negara berasaskan industri pertanian kepada industri pembuatan. Tapi idea-ideanya dibawa secara laju dengan membina asas yang rapuh. Pemberian tender-tender kerajaan secara berpilih memang menguntungkan orang Melayu, tapi Melayu yang mana dan yang bagaimanakah yang memperolehi tender-tender mewah sebegitu. Benar orang Melayu sudah sedikit maju dan senang, tetapi Melayu yang mana dan Melayu yang bagaimana?
Kebangkitan golongan Melayu di bidang pendidikan masih lagi agak terencat kerana polisi pendidikan yang berubah-ubah saban tahun. Tiap menteri yang memegang portfolio pendidikan akan merubah gaya pedagogi yang bersesuaian dengan kehendak dan selera mereka untuk menunjukkan kepada PM yang mereka tahu membuat kerja. Akhirnya, guru-guru dan murid-murid terbeban dengan karenah perubahan dahsyat para menteri ini. Tapi, tidak dapat dinafikan sesetengah perubahan itu bagus dan sesetengah perubahan pula membawa pembaziran pada tahap yang maksimum. Kesudahannya? Masa, kepakaran dan kebijaksanaan rakyat terbazir begitu saja kerana kaedah 'trial and error' yang tidak berkesudahan. Tiada polisi pendidikan yang konsisten kerana falsafah pendidikannya begitu abstrak dan tidak berpijak di bumi nyata.
Polisi Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada sekitar tahun 1970an menjanjikan peningkatan penyertaan kaum Melayu dalam sektor ekonomi pada 30% sebenarnya hanya diisikan oleh golongan Melayu elit. Golongan yang tiada kena mengena dengan rakyat marhaen. Golongan yang memperolehi jalan pintas untuk maju dan akhirnya apabila dunia mengalami pemberontakan ekonomi pada tahun 1997, mereka jatuh merudum bersama-sama asas ekonomi yang dibina rapuh. Kerajaan mula berasa panas punggung untuk menyelamatkan korporat konglomerat ini atas alasan untuk menjaga kebajikan rakyat. Benar pada penilaian terdekat mereka, rakyat akan menderita akibat kehilangan pekerjaan. Tapi sekiranya diperhitungkan kesan jangka masa panjang, negara sebenarnya akan terus mendidik ahli-ahli korporat negara ini untuk terus bergantung kepada subsidi kerajaan. Dalam pada masa yang sama juga, para pemimpin kita tidak habis-habisan mengutuk, mencerca, menghina para korporat yang 'manja' dengan kerajaan sedangkan mereka juga yang menghulurkan tangan membelai poket-poket korporat melayu kita.
Dan kalau kita lihat dengan lebih dekat lagi, kebanyakan syarikat-syarikat ini sebenarnya syarikat penaja UMNO yang kononnya membela nasib Melayu. Hebatnya mereka dahulu hinggakan dapat membeli sebuah bangunan di tengah kotaraya, Pusat Dagangan Putra (PWTC) tapi dapatkah mereka membelanjakan wang yang sama untuk kebajikan rakyat sekalian? Kalau benar mereka membela nasib Melayu, bagaimanakah peratusan rakyat termiskin di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Sabah dan juga Sarawak? Apa khabar 8% populasi yang hidup di bawah garis indeks kemiskinan kebangsaan?
Apa khabarnya golongan petani di serata Malaysia? Mereka juga rata-ratanya melayu, beradatkan melayu, bertunjangkan resam melayu dan juga bertutur dalam Bahasa Melayu. Tapikah apakah Rm 50 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mampu membantu mereka menjalani kehidupan mereka sehari-hari? Apakah syarikat-syarikat ini terus-terusan membantu golongan sebegini?
Malam ini kita akan meraikan hari kemerdekaan untuk kali ke 47. Malam ini juga kita akan melihat ramai muda-mudi bermesra-mesraan, bersuka-sukaan sambil menjinjing botol Carlsberg, meraikan kemerdekaan di Zouk, melaungkan laungan Merdeka mengalahkan laungan merdeka Tunku Abdul Rahman, tapi apakah mereka faham kemerdekaan yang bagaimanakah yang diimpi-impikan oleh pemimpin masyarakat masa dahulu.
Disiplin masyarakat dulu sudah lagi digolok-gadaikan dengan mengimport masuk pelbagai macam dan ragam bentuk hiburan. Tidak salah untuk kita berhibur tapi biarlah hiburan itu membina minda dan membentuk jiwa. Hiburan kosong hanya akan menghasilkan ruang hampa. Ruang hampa akan menyebabkan orang-orang kita sibuk terkinja-kinja, mengimpikan yang muluk-muluk dan mengangankan yang indah-indah tanpa mahu berusaha sehabis baik.
Kemerdekaan yang kita ada hari ini, bukanlah kemerdekaan tulen yang diperjuangkan oleh rakyat dahulu. Kebebasan untuk menyuarakan pendapat sudah tidak lagi menjadi hak orang merdeka. Kebebasan untuk berfikir juga sudah tidak lagi mendapat restu di tanahair yang telah merdeka selama 47 tahun. Hidup kita masih lagi melarat, kalau tidak fizikal, semestinya minda dan mentaliti, yang seringkali diacu-acukan dengan isu remeh temeh dari golongan pemerintah. Ugutan-ugutan rusuhan kaum selalu bermain di bibir para pemimpin seolah-olah dendam Melayu-Cina-India tidak berkesudahan hingga ke akhir ini. Keselamatan dalam negeri menjadi mantera keramat untuk golongan pemerintah.
Sampai bila kita mahu meraikan kemerdekaan sebegini? Sampai bila kita harus mengemis hak di negara sendiri? Fikir-fikirkanlah soal ini bila mana kita membicarakan soal kemerdekaan. Apakah hati kita sudah merdeka untuk membuat keputusan tanpa dipengaruhi, tanpa ditakut-takutkan, tanpa diugut-ugut oleh kerajaan memerintah? Sedar atau tidak, umur Malaysia seharusnya sudah pun dewasa, dan sejalan dengan itu, gaya pemerintahan juga harus dewasa. Tidak boleh lagi bermain acu-acu, tidak boleh lagi main gertak-gertak seperti budak umur 10 tahun layaknya. Orang kata, mesti jadi gentleman.
Di ambang merdeka ini, hanya satu sahaja yang aku minta untuk jadi hadiah harijadi aku - pemerintah yang adil, bersifat ihsan, dan mesra rakyat. Itulah saja hadiah harijadi yang aku selalu minta-mintakan. Tidak lebih dan tidak kurang.
No comments:
Post a Comment