Suatu Masa
Aku baru saja bersarapan pagi. Seperti biasa, bersarapan seorangan - sesuatu yang jarang aku lakukan. Bukanlah bermaksud aku selalu bersarapan dengan teman-teman yang lain, cumanya aku memang jarang bersarapan. Tadi, tatkala aku mahu membasuh tangan, tiba-tiba kenangan lama datang mengusik jiwa.
Aku teringatkan kenangan pada seseorang. Tika itu aku dan dia menziarahi rumah makciknya yang aku tak ingat di mana dan kami sama-sama makan malam dengan keluarga makciknya. Kata dia, itu makcik kesayangannya. Dan setelah kami selesai makan malam aku membawa pinggan ke sinki, dia pun turut sama mengekori belakangku. Dia menawarkan diri untuk membasuh pinggan yang aku gunakan untuk makan malam tadi. Aku kata tak mengapa, aku boleh basuh pingganku sendiri. Tapi dia berkeras juga. Aku beralah. Sedang aku mahu membasuh tangan, dia berleter pada aku sebab aku tak gunakan sabun untuk membasuh tanganku hingga bersih. Jadi dia lumurkan sabun di tanganku dan menggosoknya lalu dicucinya dengan air paip hingga bersih. Kemudian, dia senyum padaku dan aku juga senyum padanya. Ikhlas dan redha.
Itu dulu. 5 tahun yang dulu. Kini dia sudah pun jadi isteri orang.
Itulah yang bermain di ingatan bilamana aku mencuci tanganku dengan sabun ketika meletakkan pinggan ke dalam sinki tadi. Hadirnya perasaan mahu kembali ke saat-saat itu, merasai perasaan itu dan tersenyum puas sebegitu.
Kenangan. Buat aku tersenyum sendiri di pagi hari Jumaat di ceruk pedalaman State College di negeri Pennsylvania. Beribu batu dari Malaysia dan dia.
Moga dia kekal bahagia dengan keluarganya hingga akhir hayat nanti.
No comments:
Post a Comment