Cerita Tak Ada Tajuk
Lama juga dia melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Entah apa yang dia cuba cari di luar sana, dia sendiri pun tidak ketahuan. Mindanya menerawang jauh ke daerah kenangan dan cuba mencari satu nama yang sudah lama dia tidak kedengaran. Sesekali dia menghelakan nafasnya yang berat seperti sedang menanggung satu beban yang maha berat untuk dipikulnya. Sesekali juga dia akan menyandarkan badannya ke kerusi empuk sambil menyelak-nyelak lembaran kertas yang terletak di atas mejanya.
Toooo..tooot....tooooot. Telefon bimbitnya berdering.
"Hello, assalamualaikum?".
"Wa'alaikumsalam. Boleh bercakap dengan Encik Idham?".
"Ya, Idham bercakap di sini".
Perbualan di telefon diteruskan. Idham kelihatan terangguk-angguk dan sesekali dia mengiyakan penuh setia. Tangannya pantas mencatatkan sesuatu di kertas. Tamat saja perbualan di telefon, dia dengan segera mengemaskan helaian-helaian kertas di mejanya yang berselerak. Matanya menjeling kiri dan kanan, cuba mencari kelibat rakan-rakan sekerja di pejabatnya. "Hmm…masing-masing dah balik agaknya," bisiknya sendiri. Idham bingkas bangun dan mencapai kunci motor dan topi keledarnya lalu segera beredar dari ruang pejabat.
Idham masih lagi seorang jurutera yang baru bekerja di pejabat itu. Dia baru saja menamatkan pengajiannya di luar negara lalu diambil bekerja di situ hanya kerana kelebihannya yang fasih berbicara dan menulis dalam bahasa Inggeris. Bakatnya dalam bidang kejuruteraan tidaklah sehebat mana, boleh dikatakan hanya di peringkat pertengahan saja. Dia sendiri hairan dengan dirinya, entah bagaimana dia mencampakkan dirinya ke dalam bidang ini sedangkan dia sendiri sangat-sangat membenci apa yang dipelajari semasa berada di zaman kolej. Nampaknya tuhan sudah menentukan rezekinya ada di pejabat ini.
Rutin harian Idham tidak banyak berubah semenjak dia berpindah dari Kuala Lumpur ke bandar kecil Kerteh ini. Seawal pagi dia akan bangkit dari tidurnya dan mengerjakan solat subuh. Dia juga rajin membaca himpunan doa-doa Al Ma’thurat, satu amalan yang dia jarang tinggalkan semenjak berada di kolej. Selesai urusan ibadah, dia akan membersihkan dirinya dan bersiap untuk pergi ke pejabat. Sesekali dia akan turun ke unit operasi untuk menyelenggara kerja-kerja pemantauan rutin. Apabila tengahari menjelang, dia akan segera beredar mencari warung untuk mengisi perut. Dia benci dengan makanan di kafeteria tempat dia bekerja. Bagi Idham, makanan di sana tidak dapat menandingi warung Pakcik Kasim. Aroma makanan di warung itu sudah jelas menambat selera perutnya. Selesai melampiaskan nafsu perutnya, dia akan singgah di masjid yang tidak jauh dari kawasan kerjanya untuk tunaikan solat zuhur dan kembali ke pejabat. Bila petang menjelang, dia akan pulang ke rumah sewanya untuk berehat dan menanti untuk mengulangi jadual hidupnya yang sama pada esok hari. Bosan, sangat bosan, katanya lagi.
**************************
Sekeping sampul surat berwarna kuning berada di atas mejanya. Jarang sekali surat sedemikian terletak di situ melainkan di dalam kotak suratnya. Idham segera membuka sampul dan membaca isi kandungannya. Seketika kemudian sebuah senyuman terukir di wajah Idham.
"Alhamdulillah...", bisik Idham sendirian.
Permohonannya untuk bercuti telah pun diluluskan. Sudah lama sangat dia tak memohon untuk bercuti. Bukan kerana dia mahu jadi pekerja terbaik di pejabatnya, cuma dia sendiri malas untuk bercuti. Hatinya sudah mula merancang-rancang tentang apa yang akan dikerjakannya semasa cuti nanti. Hanya satu nama yang terbayang-bayang di fikirannya.
Selesai urusan kerja di pejabat, Idham terus kembali ke rumah tanpa singgah di warung Pak Kasim untuk minum petang. Dia segera mengemaskan segala pakaiannya dan juga dua tiga buku yang patut dia bawa pulang ke rumah. Mungkin juga buku-buku itu bakal penemannya semasa dalam perjalanan pulang dari Kerteh ke Kuala Lumpur. Tiket bas yang dibelinya tengahari tadi masih lagi diam di dalam beg kerja. Biarkan saja di situ, bisik hatinya. Idham mula menyanyi-nyanyi halus. Jelas kelihatan dia tidak sabar untuk pulang ke rumah.
***************************
"Ibu, assalamualaikum!" sapa Idham setibanya di pintu pagar rumah. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, cuba mencari kelibat orang-orang di dalam rumah.
"Eh, Pak Ngah dah balik! Pak Ngah bali!! Ye ye…Pak Ngah balik!" jerit suara budak kecil dari balik pintu. Tersembul wajah comel mengintai dari belakang pintu kayu. Idham tersenyum, segera membuka pintu pagar dan mendapatkan si kecil comel itu. Bertalu-talu dia mencium pipi sambil mendakap si kecil itu rapat ke dadanya. Menjerit-jerit kegelian si comel itu tatkala janggut kasar Idham yang sejemput itu menjamah ke pipi halusnya.
"Cik Su, tok mak mana?" soal Idham sambil melepaskan pelukannya.
"Ibu ada ni haa!", tegur Puan Mariam dari belakang. "Astaghafirullah, terkejut Id dibuatnya. Ibu ni, mujur Id tak ada sakit jantung tau!" ujar Idham. Dia segera mendapatkan tangan Puan Mariam dan mengucupnya.
"Tak usah kamu nak merepek. Kamu tu muda lagi, bukan tua macam ibu ni haa," tempelak ibunya.
"Rindu kat ibu!" katanya sambil menjeling manja pada emaknya itu. Puan Mariam hanya tersenyum sumbing saja melihat telatah anak terunanya itu.
Lama juga dia tidak berjumpa dengan Idham. Kali terakhir dia berjumpa dengan anak keduanya ini ialah sewaktu Hari Raya Korban kira-kira 5 bulan yang lalu. Selebihnya, mereka hanya berhubung di corong telefon saja. Idham tekun menelefon rumah seminggu sekali untuk bertanyakan khabar ahli-ahli keluarga. Begitulah sifat Idham sejak dia belajar di luar negara, tidak pernah jemu untuk berhubung dengan ibunya, baik melalui surat atau pun telefon. Pasti akan dia cari jalan untuk berkomunikasi dengan Puan Mariam.
"Ibu masak apa kat dapur tu? Biar Id tolong ya?".
"Tak payah lah. Kau pun baru sampai, mesti penat lagi badan tu. Duduk sajalah tunggu abah balik. Kalau belum solat Zuhur lagi, pergi ke atas sudahkan solat tu dulu. Ibu nak sudahkan memasak di dapur," balas ibunya. Idham terangguk-angguk di situ. "Okay, jom Cik Su ikut Pak Ngah ya?" katanya pada Suria, anak saudaranya yang berumur 3 tahun lebih. Suria hanya tersengih sambil tersandar ke dada Pak Ngahnya sejak dari tadi lagi.
Seketika kemudian kedengaran gelak ketawa Idham dan Suria di tingkat atasnya.
No comments:
Post a Comment