Melihatkan gambar Mizah masuk ke bendang buatkan aku teringat kenangan masuk ke bendang waktu kecil-kecil dulu. Kebetulan atuk ketika itu masih lagi kuat menanam padi sungguh pun usianya sudah tua lanjut. Achik dan Anjang masih lagi bujang, belum berkahwin dan tinggal bersama atuk di kampung. Petak sawah milik atuk pun tak jauh, hanya sepelaung saja dari pandangan mata kalau jenguk keluar dari tingkap rumah atuk. Yang memisahkan rumah atuk dan sawahnya hanyalah jalan raya dan sebatang parit pengaliran.
Kebetulan Achik mempelawa aku turut sama masuk ke sawah. Tentu sekali aku mahu sebab nak merasa sejuk lumpur dan selut biar pun aku takut dengan lintah. Ni semua gara-gara tengok filem hantu Indonesia yang tunjukkan ilmu hitam gunakan lintah. Along dan Angah tak mahu pulak turut serta, barangkali takut dimarahi mummy. Atau pun Along senang lagi melepak di rumah Tok Uda melayan novel dan Angah tidur terbongkang di ruang tamu rumah atuk, berlenggeng tanpa t shirt di badan.
Sebenarnya nak menanam padi bukanlah susah sangat. Cucuk saja anak-anak padi ke dalam tanah lumpur tapi kena pastikan anak-anak padi tak terus tenggelam. Cuma akarnya saja yang tenggelam. Musuh utama bagi pesawah ialah sinaran terik matahari. Sedangkan aku yang masih kecil ketika itu pun akan berpinar-pinar ditikam cahaya matahari, inikan pulak tubuh tua atuk. Padanlah kulit papa sawo matang gelap tanda dibakari matahari waktu mudanya gara-gara menolong atuk di sawah.
Waktu berada di sawah juga seronok dapat berlari-lari dalam petak sawah atuk. Itu pun sebelum dileteri atuk sebab aku mengotorkan pakaian sendiri. Tapi aku tahu, atuk jarang sangat berleter pada kami. Atuk banyak bersembang dengan anak-anaknya sendiri berbanding dengan cucu-cucunya.
Setiap kali aku terpandang sawah mesti aku teringatkan atuk aku. Asal keluarga papa pun dari bendang sawah di Tanjung Karang. Satu kawasan yang masyhur dengan projek penanaman padi besar-besaran tajaan pemerintah. Dalam adik-beradik aku, cuma aku yang rajin benar pulang ke kampung Tanjung Karang. Kalau dulu waktu kecil-kecil, gemar berbasikal menyusuri batas-batas sawah. Itu pun kalau ada Mak Lang, Mak Uda atau pun Mak Long anak Tok Uda temankan.
Bila waktu air tengah naik, ramailah orang ambil peluang menangkap ikan puyu dalam petak sawah. Kemudian ikan puyu akan dijadikan umpan hidup untuk menangkap ikan haruan pula. Kadang-kadang ikan puyu tu diasinkan untuk dibuat ikan masin. Aku lebih gemar saja makan ikan puyu goreng. Sirip belakang ikan puyu tajam. Seingat aku, tapak tangan aku pernah tercucuk sirip tajam ikan puyu waktu nak menyangkutkan ikan puyu pada joran kecil buat umpan ikan haruan. Tidaklah luka dalam tapi cukuplah buat aku tersentak ke belakang. Selain dari menggunakan ikan puyu buat umpan, kadang-kadang orang turut gunakan cengkerik atau pun katak untuk jadi umpan ikan haruan. Rasanya aku pernah nampak pak sedara aku gunakan bubu untuk tangkap ikan di parit. Kadang-kadang ada orang-orang kampung siap buat empangan kecil dalam parit waktu air surut untuk menangkap ikan. Aku nak juga turut serta sebab nampak macam menyeronokkan. Tapi sekali lagi mummy larang aku. Katanya buat apa aku berlumpur berselut, mengotorkan pakaian saja. Jadi aku hanya dapat memandang sajalah.
Papa pernah cakap waktu dia muda-muda dulu, air sungai di Kunci Air Buang di Sawah Sempadan melimpah masuk ke dalam sawah. Tak semena-mena pulak datang banyak belut ke dalam sawah. Agaknya belut-belut tu turut melimpah mengikut arus air sungai kot. Orang kampung datang ke sawah untuk menangkap belut-belut dan kemudiannya dijual di pekan Tanjung Karang (waktu tu masih lagi pekan, belum dinaiktaraf jadi bandar). Mummy bila disebut ajer belut, mulalah mencebik mukanya tanda geli. Mummy tanya papa, boleh ke kita makan belut. Papa kata boleh sebab belut pun sejenis ikan juga. Aku pun rasanya pernah makan belut, tapi belut yang dijadikan sushi lah, bukannya belut buat lauk kampung yang macam papa pernah rasa.
Hmm..banyak jugalah adegan sawah dalam kenangan aku kecil-kecil dahulu. Sebabnya papa waktu dulu-dulu rajin bawa kami pulang ke Tanjung Karang sebab jaraknya agak dekat dengan Kuala Lumpur. Kemudian bila masing-masing sudah besar panjang begini, hanya aku saja yang rajin balik ke kampung mengikut Ucu. Kadang-kadang Ucu yang pandu kereta, kadang-kadang aku pulak. Petang-petang mesti aku tunggang motor kapcai dan berhenti di tepi sawah. Tengok pemandangan sawah luas terbentang. Teringat kenangan bersama atuk di sawah padi, berlari-lari dengan anak-anak Pak Long di dalam petak sawah.
Sekarang ni atuk sudah pun sakit akibat strok, lumpuh separuh badan dan sakit tua terlantar di katil rumah Pak Long. Setiap kali aku telefon ke rumah, mesti aku tanyakan kesihatan atuk pada papa. Setiap kali aku balik ke M'sia, mesti aku lawat atuk di rumah Pak Long. Dan bila mahu pulang ke Amerika, mesti aku singgah rumah Pak Long untuk berjumpa dengan atuk. Aku pegang tangan atuk dan cakap, "Atuk, ayed nak balik Amerika semula". Nak cakap panjang-panjang tak boleh sebab aku cepat sebak tengok atuk terlantar begitu. Mulalah nak melimpah tasik air mata aku. Tapi aku tahu atuk cam suara aku sebab aku rasa pegangan tangan dia kuat. Aku taklah rapat sebenarnya dengan atuk aku tapi entah, aku cepat hiba tengok keadaan atuk. Aku selalu doakan kesihatan atuk dipulihkan, sekurang-kurangnya biarlah dia dapat berbual dengan kami cucu-cucunya seperti dulu. Ameen.
1 comment:
twitter porno
Post a Comment